Sunday, 22 May 2016

SUMBANGAN WANITA BANGUN NEGARA

Bahawa sebelum merdeka, penglibatan golongan Hawa ini barangkali boleh dikatakan amat terbatas. Angka, data, perangkaan atau statistik menjadi petandanya. Ia menguatkan fakta bahawa ada keterbatasan penglibatan wanita dalam pelbagai sudut dan lapangan sebelum negara merdeka.

Sekali lagi, ia diakui sendiri oleh ramai pemimpin negara. Dulu dan kini. Maknanya jika dulu statistiknya bukan sekadar omong, begitu juga sekarang, fakta yang diberikan bukan pula satu mitos.

Maka apabila angka dan graf memberi isyarat tentang serba serbi pencapaian positif bagi wanita dalam rentang usia kemerdekaan, apa lagi yang mahu ditidakkan selain menerimanya dengan berlapang dada dan berhati besar.

Pencapaian wanita ditandai dengan penglibatan golongan itu dalam bidang yang memiliki variasi. Ia adalah tentang pendidikan, mengenai kemudahan disediakan kerajaan selain peluang yang jangan sama sekali disia-siakan.

Lupakan mengenai kefahaman tentang gender. Ia merupakan isu berterusan yang diperjuangkan, kalaupun memberi kesan, ia memberi titis yang minimum. Selebihnya, ia tetap bergantung kepada perkara asas seperti pelajaran, peluang dan cabaran.

Dapat dibaca bahawa kerajaan tidak sama sekali menafikan bahawa wanita nyawa kepada pembangunan negara yang dikecapi selama ini.

Sejak merdeka peranan dan status wanita telah mempamerkan banyak perubahan. Pada tahun 1959, statistik dua tahun selepas merdeka menunjukkan bahawa terdapat hanya 77 graduan wanita atau bersamaan 10.7 peratus daripada kesemua jumlah pengambilan pelajar di Universiti Malaya (UM), satu-satunya universiti yang wujud pada ketika itu.

Sekarang, seiring dengan penambahan bilangan universiti, dapat dilihat dengan jelas bahawa senarionya ialah jumlah pelajar wanita melebihi lelaki.

Sementara itu, penglibatan wanita dalam bidang pekerjaan turut menunjukkan trend yang meningkat daripada 30.8 peratus pada tahun 1957 kepada kira-kira 46 peratus bagi tempoh tahun 2000 hingga 2006.

Perlu diingatkan, apabila bekerja mereka turut tersenarai sebagai ‘penyumbang’ kepada ekonomi keluarga dan negara pada amnya.

Mereka yang berada di luar pasaran buruh juga sebenarnya menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di negara ini.

Pada lapis lain, bukankah angka-angka itu sesuatu yang boleh diharapkan untuk satu kepercayaan tentang pencapaian wanita, dulu dan kini, sebelum serta sesudah merdeka.

Kalau ia sesuatu yang perlu dipercayai, barangkali itu puncanya wanita dilabel nadi kepada pembangunan, memberi nyawa kepada sebuah negara yang benar-benar merdeka.

No comments:

Post a Comment