Wednesday, 14 February 2018

WARNA MERAH TAHUN BARU CINA


Pada sambutan Tahun Baru Cina, warna merah akan menguasai kehidupan kaum Cina. Warna merah menggambarkan keadaan yang terang dan ceria menjadi lambang kegembiraan dan menjanjikan sinar kecerahan dalam kehidupan.

Warna merah itu dipanggil hong dalam bahasa Cina dan bunyinya kedengaran seperti ong atau bertuah. Maka, masyarakat Cina percaya warna ini akan membawa tuah jika dipakai pada hari pertama Tahun Baru Cina dan majlis perayaan yang lain.

Mereka percaya dengan pemakaian warna ini akan dilimpahi tuah dan kecemerlangan sepanjang tahun.

Nasib mereka akan ditimpa malang sekiranya memakai pakaian yang berwarna hitam dan warna-warna yang gelap. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu dalam majlis-majlis perayaan kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.

Hiasan tanglung berwarna merah yang pelbagai saiz dan bentuk sering memenuhi  kawasan kediaman masyarakat Cina. Ini  menunjukkan perayaan itu akan disambut dengan cukup meriah.

Hiasan dalaman rumah  dan tanglung-tanglung serta birai pintu rumah juga akan diwarnai dengan warna merah bagi menyambut ketibaan tetamu. Hiasan bunga-bunga juga berona merah mewujudkan semangat keceriaan yang padu dan harmoni.

Semasa zaman dahulu orang-orang tua masyarakat Cina sering  berpesan agar orang-orang kampung menggantungkan kertas berwarna merah di pintu-pintu dan tingkap-tingkap rumah mereka pada setiap waktu menjelangnya tahun baru.

Ini kerana dikhuatiri binatang bernama Nian ( raksaksa) akan mengganas di kawasan rumah mereka. Warna merah sangat ditakuti oleh Nian, dan mampu menghalau raksaksa tersebut.

Kanak-kanak atau sesiapa yang belaum berkahwin layak menerima angpau tanpa mengira usia. Angpau dimasukkan ke dalam sampul berwarna merah.

Warna merah sampul ini melambangkan tuah. Jumlah wang yang terkandung dalamnya lazimnya dikehendaki bermula dengan angka genap kerana angka ganjil dikaitkan dengan wang yang diberi ketika majlis pengebumian.

Warna merah sebenarnya membawa maksud keteguhan, keberanaian, keceriaan dan  kemegahan. Warna ini  dikatakan memberi dorongan kepada keadaan yang lebih positif dalam kehidupan masyarakat Cina. 

Warna ini sering digunakan dalam perayaan dan sambutan majlis kebesaran mereka kecuali hari-hari yang menunjukkan keadaan kesedihan dalam kehidupan mereka. 

Warna ini akan terus menjadi simbol kemegahan masyarakat tersebut malah melambangkan keteguhan dan kemegahaan negara apabila  digunakan sebagai simbol pada logo-logo, lencana, bendera dan setem malah turut diterjemahkan pada wang kertas dan duit syiling.

Warna merah menguasai hampir setiap ruang di dalam dan luar rumah mereka. Bila tibanya perayaan ini hiasan berwarna merah sering  digantung sepanjang jalan yang menandakan perayaan itu kini bukan sahaja disambut oleh masyarakat tersebut tetapi juga sudah menjadi seperti perayaan seluruh masyarakat.

No comments:

Post a Comment