Sunday 11 February 2018

APAKAH HUKUM WANITA ZIARAH KUBUR

Ziarah kubur dianggap satu bentuk mendidik diri mengingati mati. Kita akan akan sedar di tempat itulah jasad akan disemadikan sebagai tempat persinggahan sementara sebelum dibangkitkan di akhirat apabila dunia ini mengalami kiamat.

Rasulullah SAW telah menziarahi perkuburan Baqi dan mengucapkan salam kepada orang yang telah mati dengan doa baginda: "Selamat sejahtera wahai penghuni rumah orang yang beriman, dan kami kelak Insya-Allah akan menyusuli kamu."

Jelas sekali, salam dan doa itu menyedarkan kita bahawa pada suatu ketika nanti akan menyusuli ornag telah terdahulu berada di kuburan itu.

Nabi SAW juga bersabda: "Dahulu saya pernah melarang kamu menziarahi kubur tetapi sekarang kamu boleh menziarahinya kerana menziarahi kubur itu mengingatkan kamu kepada kematian." (Riwayat Imam Muslim)

Biarpun disunatkan atau sesuatu yang dituntut dilakukan, terdapat panduan yang perlu dilakukan semasa melawat kubur. Antara yang perlu diberi perhatian ialah ziarah itu bertujuan atau mampu mendidik jiwa untuk lebih bersedia menghadapi kematian.

Ziarah kubur mesti dijauhi daripada perbuatan pemujaan atau untuk mendapat keramah jenazah yang disemadikan di kubur itu.  

Sunat menziarah kubur tidak dijelaskan sama ada untuk lelaki atau wanita. Namun, bagi wanita perlu memastikan tidak melakukan perkara dilarang seperti meratap dan meraung.

Selain itu mereka hendaklah menutup aurat dan tidak bercampur bebas dengan lelaki yang bukan mahram.

Dalil yang menunjukkan bahawa hukum bagi perempuan menziarahi kubur adalah tidak haram berdasarkan beberapa hadis Rasulullah SAW.

Nabi berjalan melintasi seorang perempuan yang sedang menangis di kubur anaknya, lalu Baginda bersabda: “Bertaqwalah engkau kepada Allah dan bersabarlah.” (Hadis Muslim dan Bukhari)

Daripada hadis di atas dapat difahami bahawa menziarahi kubur bagi perempuan tidak dilarang. Ini kerana jika perbuatan tersebut dihukumkan haram, sudah tentunya Rasulullah SAW menegur ataupun melarang perempuan tersebut daripada menziarahi kubur.

Aisyah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang doa yang boleh dibacanya apabila berziarah ke perkuburan. Rasulullah Shallallahu SAW bersabda: “Katakanlah: “Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas ahli kubur daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Islam dan semoga Allah merahmati orang-orang terdahulu dari kalangan kami dan orang-orang yang terkemudian, dan sesungguhnya sekiranya kami diizinkan oleh Allah kami akan bertemu dengan kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis di atas adalah dalil yang menunjukkan bahawa tidak haram bagi perempuan berziarah kubur.

Namun perlu diingat, bahawa hukum berziarah kubur bagi perempuan ini bergantung pada tujuan dan keadaannya ketika berziarah. Hukum asalnya adalah makruh sekalipun tujuannya untuk mengambil iktibar, untuk mengingatkan kepada kematian, alam barzakh dan alam akhirat.

Di samping itu, perempuan tersebut dapat menjaga adab kesopanan ketika berziarah, dapat menahan diri dari kesedihan atau dukacita yang bersangatan dan aman dari segala fitnah.Manakala apabila berlaku tujuan dan keadaan yang sebaliknya, maka hukum makruh tersebut akan bertukar kepada haram.

Perlu diambil perhatian juga, hukum yang membenarkan perempuan berziarah kubur ini adalah tertakluk bila adanya keizinan daripada suami atau wali. Sekiranya tiada keizinan daripada suami atau wali, tidaklah perempuan itu dibenarkan untuk berziarah kubur.

No comments:

Post a Comment