Sunday 27 May 2018

CARA MENDAPAT NIRA NIPAH

Proses penghasilan nira nipah perlu mengikut langkah yang dilakukan secara tradisional. Nira atau juga dipanggil tuak nipah dihasilkan atau diperoleh dari tandan buah nipah yang telah tua. Ini berbeza dengan tuak kelapa yang diperoleh dari mayang muda kelapa.

Pokok nipah matang mengeluarkan tandan yang di bahagian hujungnya terbentuk bunga. Bunga membesar dan menghasilkan buah secara setompok rapat-rapat yang kelihatan seperti bulat.

Saiz tandan nipah akan membesar selari dengan pembesaran buah nipah. Tandannya mampu menampung berat buah nipah yang semakin berat apabila buah menjadi matang. .

Tandan nipah yang ingin diambil nira nipah perlu dicuci dengan membuang semua kulit tandannya apabila buah nipah mencapai tahap matang.

Tidak semua tandan nipah melentur ke bawah walaupun buahnya berat. Jadi, tandan yang berkedudukan menegap perlu dilenturkan ke bawah dengan cara dipukul menggunakan kayu.

Bahagian tandan yang telah buang kulit perlu diselaputi dengan lumpur untuk mengelak ia mengalami kekeringan.

Bahagian tandan akan dipotong atau diparas apabila buah telah matang. Tandan yang telah dipotong akan menitiskan nira nipah. Pada peringkat awal kelajuan titisan agak perlahan. Jadi, ia dibiarkan jatuh ke tanah tanpa ditadah.

Setelah beberapa hari baru air nira nipah galak keluar dan proses menadah air nira dilakukan dengan meletakkan tukil di hujung bahagian dipotong. Dahulu tukil diperbuat daripada buluh. Namun sekarang ini botol plastik atau bekas plastik digunakan kerana lebih mudah dan bersih.

Nira nipah biasanya keluar laju pada sebelah malam. Setiap tandang nipah boleh mengeluarkan nira di selama sebulan hingga tiga bulan mengikut jenis pokok nipih yang ukuran panjang tandannya berbeza. Semakin panjang tandan, semakin lama tempoh dapat mengeluarkan nira nipah.

Pengeluaran nira nipah kini dilakukan secara kormesial atau ladang. Terdapat pengusaha nira nipah yang memprosesnya menggunakan mesin khas. Nira nipah yang diproses lebih tahan lama dan bersih.



No comments:

Post a Comment