Monday 4 June 2018

CABARAN WANITA BEKERJA

Jumlah wanita bekerja semakin meningkat. Penyertaan wanita kini meliputi semua peringkat dari peringkat rendah sehingga tertinggi. Hampir dalam setiap sektor sama ada ekonomi, pendidikan, politik, keselamatan dan sebagainya, penyertaan wanita begitu jelas.  

Malah, budaya hidup masyarakat di negara ini juga sudah menerima wanita sebagai penyumbang kepada ekonomi keluarga, apatah lagi dengan keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi seperti sekarang.

Penglibatan isteri dalam pekerjaan banyak membantu suami dalam menampung nafkah keluarga. Kehidupan yang semakin kompleks memerlukan sesebuah keluarga menyediakan peruntukan kewangan yang lebih besar. Hal ini tidak mampu ditanggung oleh suami yang berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, dengan penglibatan sama isteri dalam usaha mencari rezeki, beban yang terpaksa ditanggung oleh suami menjadi lebih ringan. Kestabilan ekonomi keluarga kini banyak turut disumbangkan oleh isteri.

Sebenarnya, wanita tidak boleh mengharapkan lelaki sepenuhnya dalam memenuhi keperluan hidup. Banyak keadaan yang mana wanita perlu berusaha sendiri mencari rezeki. Paling tidak ketika mereka belum berkahwin. Ibu bapa tidak selama-lamanya dapat menanggung anak yang sudah dewasa dan dapat berdikari. Lebih-lebih lagi keluarga besar yang mempunyai adik beradik masih bersekolah.

Keadaan paling kritikal bagi wanita ialah apabila terpaksa menjadi ibu tunggal. Jika tidak mempunyai pekerjaan sendiri, sudah tentu ibu tunggal tidak mampu menyara anak-anak yang ditinggalkan oleh suami akibat perceraian maupun kematian. 

Begitupun, wanita bekerja mempunyai cabaran tersendiri lebih-lebih lagi apabila pada masa sama mereka memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

Terikat dengan pelbagai peraturan dalam sektor pekerjaan yang perlu dipatuhi termasuk waktu kerja yang tidak anjal, membuatkan mereka sukar memenuhi kesemua peranan tersebut dengan baik.

Tekanan pasti berganda apabila persekitaran serta orang sekeliling terutama majikan dan ahli keluarga tidak membantu bagi memudahkan lagi keadaan.
Sebagai contoh, tiada sokongan dari segi kemudahan pusat penjagaan anak di tempat kerja, waktu kerja tidak anjal, pasangan atau suami yang kurang memahami beban kerja dan sebagainya.

Tiada alasan mengapa wanita tidak mampu menguruskan kedua-duanya, kerjaya dan keluarga, dengan baik. Tidak ada salahnya jika seseorang wanita itu mahu mengutamakan kerjaya, tetapi perlulah bijak membahagikan masa tanpa perlu mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri.

Tidak dinafikan ramai wanita bekerjaya bergantung penuh kepada pembantu rumah bagi membantu mereka melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga. Namun, itu bukan bermakna mereka boleh lepas tangan kerana gejala sosial yang berlaku di kalangan remaja hari ini kebanyakan berpunca daripada kurangnya perhatian ibu bapa pada anak-anak ini.

Wanita harus sedar bahawa kesibukan mereka dalam menguruskan kerjaya haruslah diseimbangkan dengan tanggungjawab mereka kepada rumah tangga. Tentunya seorang ibu memainkan peranan yang penting dalam melahirkan satu generasi yang berkembang baik dari aspek rohani dan jasmani.

Wanita bekerjaya tidak dapat lari daripada tekanan yang mungkin berpunca daripada pelbagai perkara. Apabila bersikap tidak profesional, wanita-wanita ini akan terbawa-bawa masalah di rumah ke tempat kerja sehingga mengganggu prestasi atau pun pekerja-pekerja menjadi mangsa ketidakpuasan hati mereka.

Gelak-ketawa merupakan kaedah paling mudah dan terbaik untuk mengurangkan tekanan. Kongsi jenaka bersama rakan sekerja dan belajar untuk berehat serta tidak memaksa badan melakukan tugas-tugas di luar kemampuan.

Tentunya kepada golongan wanita bekerjaya yang bergelar ibu, amat memerlukan tempat kerja mesra ibu, yang memberikan perkhidmatan penjagaan anak-anak yang berkualiti dan selamat dengan kos yang mampu ditanggung.

Jika halangan sebegini tidak mampu diuruskan dengan baik oleh pihak sewajarnya, maka amatlah rugi kepada negara kerana tidak menggunakan kepakaran dan kemahiran yang mereka miliki untuk membantu mengembangkan lagi pembangunan negara dan kepekaan mereka terhadap keperluan pekerja wanita perlulah diutamakan.

No comments:

Post a Comment