Friday 29 June 2018

ISLAM HALANG CETAK ROMPAK

Masalah cetak rompak semakin serius. Kegiatan cetak rompak berlaku di seluruh dunia. Sebuah badan yang menjejak pelawat laman cetak rompak melaporkan bilangan pelawat pada 2017 mencecah 300.2 bilion. Cetak rompak dalam bentuk digital dan perisian komputer paling tinggi. Pelbagai cara dilakukan bagi menangani masalah cetak rompak, namun gagal kerana sikap pengguna.

Selain usaha dilakukan penguatkuasa kementerian, seluruh masyarakat patut turut serta membanteras aktiviti cetak rompak. Satu pendekatan yang difikirkan sesuai ialah kaedah mempertingkatkan kefahaman agama berkaitan cetak rompak. 

Sesungguhnya, agama Islam lengkap dalam semua yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Ini termasuk dalam soal hak cipta terpelihara hasil seni, buku, lukisan, paten dan sebagainya. 

Sesuatu hasil yang dimasuk dalam perihal hak cipta terpelihara telah diterima pakai oleh undang-undang sebagai satu harta, yang dilahirkan dengan kepakaran, modal dan usaha yang khusus untuk mendapat pulangan keuntungan daripada sesuatu hasil penciptaan.

Segala urusan berkaitan hak cipta terpelihara tidak ada bezanya seperti harta dan barang dagangan lain yang ada pemiliknya. Sesiapa ingin kepada sesuatu yang berkaitan hak cipta terpelihara perlu melalui proses yang dipersetujui pemiliknya.  

Sesiapa menjual hasil yang dikategorikan hak cipta terpelihara samalah menjual sesuatu bukan miliknya. Mencetak hasil hak cipta terpelihara tanpa kebenaran pemilik hak termasuk kategori mencuri. Segala hasil pendapatan berkaitan cetak rompak haram digunakan.

Pihak mencetak rompak hasil seni dan karya orang lain memang sedar telah melakukan kesalahan dari segi undang-undang. Tetapi banyak orang tidak sedar dia juga menyalahi kehendak agama. 

Alasan biasa diberikan ialah mereka tidak mencuri secara fizikal. Mereka membeli master copy dan kemudian mencetak kembali. Jadi, hasil cetakan baru itu dianggap milik mereka dan boleh dipasarkan untuk mendapat keuntungan.

Hasil yang dikategorikan hak cipta terpelihara adalah hak milik pemegang hak cipta itu. Hasil itu tidak boleh dicetak, ditiru atau digunakan tanpa kebenaran pemegang hak cipta. 

Islam melarang mengambil hak milik orang lain dalam apa bentuk sekalipun tanpa keizinan pemilik atau pihak yang diberi kuasa mentadbirnya. Mengambil tanpa kebenaran samalah mencuri dan menipu. Kedua-dua perbuatan itu dosa besar. 

Akibat aktiviti cetak rompak berleluasa kerana mendapat permintaan tinggi. Bahan yang dicetak rompak dijual dengan harga lebih murah disebabkan pencetak rompak tidak perlu menanggung kos-kos berkaitan penerbitan. Pencetak rompak hanya perlu mengeluarkan modal kos pencetakan dan urusan pengedaran.

Pencetak rompak atau lanun cetak rompak mendapat keuntungan lumayan hasil penjualan bahan cetak rompak, sedangkan pemilik asal tidak mendapat hasil sepatutnya dari usaha dilakukan.

Untuk menghapuskan cetak rompak memerlukan sokongan orang ramai. Seluruh masyarakat perlu menghindarkan diri daripada terlibat dalam sebarang yang mempunyai kaitan dengan cetak rompak. 

Sesiapa saja yang terlibat dalam mana-mana berkaitan cetak rompak adalah haram. Kaedah usul fikah menetapkan, “apa yang asalnya haram, maka seluruh hukum berkaitan dengannya juga haram.”

Dengan kata lain, pengeluar, pengedar, penjual, pembeli dan pengguna bahan cetak rompak menanggung satu kesalahan di sisi agama. 

Sebenarnya masalah cetak rompak berleluasa disebabkan sikap masyarakat yang lebih berminat membeli bahan cetak rompak yang ditawarkan lebih murah. 

Membeli barang yang haram dijual adalah menyalahi etika urusniaga dalam Islam. Haram bagi penjual menjual barang yang bukan miliknya atau terdapat keraguan hak miliknya. Begitu juga haram bagi sesiapa mengetahui kedudukan barang sedemikian daripada membelinya.

Pembeli tidak harus menukarkan hukum Allah semata-mata terpengaruh dengan harga yang murah. Perkara haram tetap haram, yang tidak bertukar kerana terpengaruh harga yang murah.

Sebarang bentuk perniagaan mesti bebas daripada sebarang unsur gharar (ketidaktentuan). Ini bertujuan menghindarkan sebarang salah faham dan sukar untuk menentukan kedudukan yang sebenar. 

Secara fizikal, hak milik bahan cetak rompak adalah milik pencetaknya. Tetapi secara hakikatnya hasil seni yang dicetak itu adalah milik pemegang hak cipta terpelihara itu. Dengan itu amat jelas untuk disabitkan adanya unsur keraguan dalam perniagaan hasil cetak rompak.

Orang yang menjalankan hasil cetak rompak mencari jalan mudah untuk mendapat keuntungan dengan membelakangi nilai agama dan budaya. Memang tepat jika digelarkan orang terlibat cetak rompak sebagai lanun yang tidak berhati perut.

Peniaga bahan cetak rompak wajar dikenakan hukuman berat. Mereka mencuri kekayaan hasil titik peluh orang lain. Perbuatan itu amat tercela dan terkutut.  Hukuman berat perlu dikenakan kepada pencetak rompak.

Sesiapa membeli bahan cetak rompak samalah bersetongkol dengan penjenayah. Pembeli juga layak dipanggil penjenayah kerana menyokong gerakan penjenayah lanun cetak rompak. Lanun cetak rompak tidak dapat meneruskan operasi sekiranya tidak mendapat sokongan daripada pembeli. 

Sokongan semua pihak diperlukan untuk menghentikan aktiviti cetak rompak. Golongan agama perlu turut memainkan peranan ini. Soal cetak rompak adalah urusan muamalat yang perlu ditangani segera. Membiarkan aktiviti cetak rompak berleluasa samalah membiarkan maksiat, penindasan dan penipuan bermahraja lela.

No comments:

Post a Comment