Thursday 12 July 2018

POKOK BONGOR TARIK PERHATIAN RAMAI

Pokok bongor tergolong kategori pokok besar yang berbanir. Pokok bongor tidak sesuai ditanam di halaman rumah atau di dalam pasu walaupun boleh menjadi pokok hiasan menarik. Biasanya pokok bongor ditanam sebagai pokok teduhan di taman dan di sepanjang jalan.

Keistimewaan bunga pokok bongor amat menarik berwarna ungu dan boleh tahan beberapa minggu. Bunganya kecil membentuk jambak. Bunga bongor berwarna ungu akan bertukar kepada putih apabila tua sebelum gugur meninggalkan buah. Buah-buah inilah disemai dan dibiakkan untuk penanaman. Pokok bongor tidak boleh dibiakkan secara keratan batang mahupun secara tampang atau tut.

Kecantikan dan keistimewaan bunga bongor menjadikan bunga bongor dipilih sebagai bunga rasmi bagi Majlis Bandaraya Alor Setar. Apabila berbunga seolah berada di Korea dan Jepun seperti musim Sakura berbunga.

Sebenarnya, bukan di Alor Setar sahaja terdapat banyak pokok bongor. Sekarang ini banyak pihak berkuasa tempatan memilih pokok bongor sebagai pokok hiasan. Contohnya di sepanjang Jalan Tengku Abdul Samad, Raub, Pahang terdapat banyak pokok bongor ditanam.

Sebenarnya banyak tempat di Malaysia menggunakan nama bongor. Nama kampung penulis ialah Padang Bongor. Di Kelantan terdapat beberapa tempat lain yang menggunakan nama bongor iaitu Kubang Bongor, Pasir Mas dan Lubuk Bongor, Jeli. Di Mulong, Kota Bharu ada juga Kampung Kubang Bongor. Juga ada Kampung Kubang Bongor di Semerak Pasir Puteh.

Kampung Paya Bongor terletak di Kuantan, Pahang. Manakala satu mukim di Baling Kedah dinamakan mukim Bongor. Kampung Bongor Kudung pula terletak di Perlis. Kampung Bongor juga ada di Bersia, Gerik, Perak. Di Alor Star ada Kampung Kubang Bongor.

Jelas sekali, nama pokok bongor telah lama mendapat perhatian ramai dan menamakan kampung dan mukim dengan nama bongor. 

No comments:

Post a Comment