Monday 9 July 2018

KAWAL PERCAKAPAN LEBIH DIPANDANG MULIA

Pepatah Melayu menyebut: “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.” Pepatah itu memberi peringatan bahaya mengucapkan perkataan yang tidak baik boleh mendatangkan bencana kepada diri sendiri.  

Lidah atau percakapan satu anugerah besar diberikan Allah kepada manusia. Lidah  membolehkan manusia berkomunikasi lebih berkesan, berbanding menggunakan bahasa isyarat. Tetapi, lidah juga sering digunakan manusia mengeluarkan perkataan mendatangkan keburukan seperti menyebar fitnah, ghibah, berdusta, adu domba dan bermaksud buruk.

Allah berfirman bermaksud: “Bukankah Kami mengadakan untuk manusia itu dua mata?  Lidah dan dua bibir. Dan Kami tunjukkan kepadanya dua jalan (yang benar dan yang salah).” - (Surah al-Balad, ayat 8 - 10).

Justeru itu, mengawal dan berhati-hati mengeluarkan percakapan amat dituntut. Sekiranya ditakuti akan mengeluarkan perkataan tidak baik, maka lebih baik berdiam diri. Ini bagi mengelak daripada menanggung keburukan. 

Jika mengeluarkan kata-kata tidak disenangi orang lain, tentu sukar menarik balik. Lebih buruk lagi jika menyalahkan orang lain silap mendengarnya. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia berkata yang baik maupun dia diam.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 

Kesalahan melibatkan lidah biasa dilakukan ialah menyebarkan fitnah dan mengadu domba. Wabak fitnah mendatangkan kesan bahaya dalam masyarakat hingga menyebabkan perpecahan dan huru hara.

Allah SWT mengingatkan orang beriman tentang buruknya bahaya fitnah. Firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 191 bermaksud: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya.” 

Jelas sekali buruknya kesan fitnah. Ramai orang tidak sedar dirinya melakukan fitnah disebabkan amalan tersebut sebati dalam masyarakat. Fitnah juga berlaku disebabkan pertandingan mendapatkan kuasa, pangkat dan kekayaan.   

Fitnah disebarkan bertujuan memburuk-burukan individu atau kumpulan. Pada masa yang sama perbuatan tersebut dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang lain.

Wabak fitnah yang menyerang akan menyebabkan nilai-nilai agama menjadi musnah daripada menjadi pegangan hidup seseorang dalam masyarakat. Ketika mana nilai-nilai agama yang menjadi tunjang kesempurnaan hidup telah hilang, maka banyaklah perbuatan dosa dilakukan.  

Perkara ini ditegaskan oleh Rasulullah dalam sabda bermaksud: “Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah” - (Hadis riwayat Muslim).

Perbuatan fitnah juga merupakan sebahagian perbuatan mengadu-domba. Apabila fitnah disebarkan, ia mudah menyebabkan permusuhan dua pihak. Permusuhan menjadi semakin tegang dan tidak terkawal apabila banyak fitnah ditabur. 

Berita fitnah tidak mempunyai asas kebenaran. Orang menyebarkan fitnah memang mempunyai niat agar berlaku keadaan tidak menentu dan keburukan disebabkan berita disebarkan. 

Sebab itu Islam mengarahkan memastikan kebenaran sesuatu berita agar tidak terperangkap berita berunsur fitnah. Islam menyuruh mengambil langkah berhati-hati mengelak daripada keburukan.   

Wajib bagi orang Muslim menghalusi setiap berita yang diterima sebelum mempercayainya. Kesahihan berita dapat dilakukan dengan melihatkan kepada fakta dan sumber berita. 

Jika perlu, gunakan masa lebih lama sebelum membuat keputusan. Lebih lama berfikir lebih baik daripada lama menanggung kesan buruknya. Allah memberikan hidayah kepada sesiapa berfikir dengan hati terbuka dan mengharapkan petunjuk-Nya.    

Sekiranya menerima berita belum diketahui kebenaran, jangan kita membicarakan atau turut menyebarkan. Kita akan terperangkap dengan kancah fitnah yang kita sendiri tidak mengetahui mengapa ia disebarkan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya) akan dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat.” - (Hadis riwayat Muslim).

No comments:

Post a Comment