Wednesday 25 July 2018

SAMBUT TAHUN BAHARU SECARA BERHEMAH

Tahun baharu Masihi berasaskan kelahiran Nabi Isa yang disambut penganut agama Kristian. Namun acara itu tidak lagi dianggap acara keagamaan kerana masyarakat dunia tanpa mengira agama dan keturunan mengguna pakai kalender Masihi sebagai tarikh universal. Justeru, para ulama sepakat mengatakan sambutan tahun baru Masihi tidak bercanggah dengan syariat Islam. 

Sambutan tahun baru dengan semangat baru, azam baru, diari baru, tempoh masa baru dan sebagainya. Menilai atau muhasabah diri berdasarkan tempoh masa tertentu memang digalakkan bertujuan memperbaiki diri dan keadaan ke arah lebih baik berbanding sebelumnya. 

Saidina Umar memberi peringatan agar setiap muslim menilai diri masing-masing. Kata Saidina Umar: “Adakah perhitungan atas dirimu sendiri sebelum amalmu diperhitungkan kelak (di akhirat).”

Banyak pihak memandang sinis sambutan tahun baru kerana melibatkan hiburan, tari menari, percampuran bebas lelaki perempuan, meminum arak dan keriangan mengasyikkan. Apa dilakukan itu bercanggah dengan syariat Islam yang menyerupai amalan penganut agama lain dan perlu dijauhi.     

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Bahawa sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia di kalangan mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud).   

Kebanyakan majlis sambutan tahun baru bukan membina semangat positif sepertimana matlamat asal. Acara hiburan tiada kaitan dengan nilai-nilai murni yang ingin diterapkan dalam jiwa rakyat.  Sebaliknya, acara itu menjadikan bertambah haru, bercelaru dan keliru.    

Syaidina Umar mengungkapkan kata-kata bermaksud: “Celakalah bagi orang muslim yang hari ini lebih buruk dari hari semalam dan hari esoknya lebih buruk dari hari ini.”

Muda mudi terikut-ikut dengan budaya asing berpunca lemahnya pegangan akidah. Golongan muda hampir tidak ada kecenderungan hati, perasaan dan jiwa menghayati atau mencintai cara hidup Islam.  

Pergaulan bebas lelaki dan perempuan mudah merangsang kepada hubungan seks. Tambah buruk jika di bawah pengaruh arak yang disediakan di majlis tari menari. Akibat godaan syaitan dan fikiran yang tidak normal, banyak pasangan muda menyambut tahun baru di ranjang. Betapa rugi hidup ini yang berlalu menjadi saksi perbuatan tidak baik untuk dihisab di akhirat.

Imam Hasan al-Bashri pernah berkata: “Tidaklah sebuah hari itu berlalu kecuali setiap terbit matahari ada seruan: Hai anak cucu Adam, aku adalah ciptaan yang baru, aku menjadi saksi atas perbuatanmu, maka berbekallah dariku kerana sesungguhnya aku, jika sudah berlalu, tidak akan kembali sampai datang hari kiamat nanti.”

Majlis sambutan tahun baru elok dalam bentuk ceramah kesedaran, membangkitkan semangat patriotik dan motivasi sesuai dengan tujuan untuk membina semangat positif tahun baru. Acara sembahyang hajat dan ceramah agama juga wajar diadakan. 

Biarpun tahun baru memulakan azam baru, hakikatnya setiap hari kita perlu melakukan pembetulan dan muhasabah diri terhadap aktiviti seharian. Perbuatan dan nilai hidup kita setiap hari mesti sentiasa meningkat. Sekiranya dikesani ada kekurangan hendaklah terus diperbaiki. 

Kita tidak perlu menunggu masa setahun baru ingin melakukan perubahan ke arah kebaikan. Sepanjang tempoh tersebut bermakna kita telah mensia-siakan masa yang sepatutnya telah berubah meninggalkan keburukan dan meneruskan dengan kehidupan yang lebih baik.

Yusof Qaradhawi berkata: “Mensia-siakan waktu, walaupun hanya sedetik sekalipun, sama halnya dengan mensia-siakan kehidupan. Bagi seseorang Muslim sedetik saja dia tidak dapat memanfaatkan waktunya, maka akan kehilangan sebahagian daripada kehidupannya.”

Kita tidak mengetahui bila maut yang boleh berlaku bila-bila masa. Maut datang tidak semestinya apabila usia telah lanjut. Maka perkara paling penting ialah bertaubat atas segala kesalahan yang dilakukan. Taubat perlu dilakukan dengan segera apabila menyedari melakukan dosa. Azam menjauhkan perbuatan dosa amat penting dijadikan agenda tahun baru.  

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah dosanya, maka bertambah pulalah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya." - (Hadis Riwayat Ahmad)

Harapnya kita semua termasuk dalam golongan yang beruntung di dunia dan akhirat. Masa yang berlalu dipenuhi dengan amal kebaikan dan masa bakal ditempuh pula telah dirancang akan diisi dengan amalan yang lebih baik berbanding sebelumnya. 

Hayatilah kepentingan masa sepertimana peringatan Allah SWT dalam surah khusus yang menyebut mengenai masa iaitu al-Ashr. 

Maksud firman Allah: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, keculai mereka yang beriman dan beramal soleh serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar,” (Surah al-Ashr, ayat 1 hingga 3). 

No comments:

Post a Comment