Sunday 22 July 2018

BUAT AZAM TIDAK SEMESTI PADA TAHUN BAHARU

Ketibaan tahun baru biasanya dengan azam baru. Kita digalakkan agar sentiasa memperbaiki diri dalam segala hal. Kualiti kehidupan, baik berkaitan dunia maupun akhirat, perlu ditingkatkan setiap masa. 

Setiap masa wajar kita merenungi dan menginsafi kualiti kehidupan sekarang. Setiap individu sudah sewajarnya menilai diri masing-masing. Pun begitu, azam tidak perlu menunggu tahun baru. Untuk menjadi lebih baik, usaha dan perubahan tidak perlu tunggu apabila tiba masa tertentu. Kita perlu berazam melakukan kebaikan pada setiap masa. 

Membentuk azam baru itu tentulah berpaksikan kepada perubahan atau penghijrahan ke arah kebaikan. Tidak ada orang yang berazam ingin melakukan lebih keburukan atau perkara yang mendatangkan kerugian kepada dirinya. 

Tuntutan azam atau berhijrah meliputi semua perubahan atau pertukaran daripada yang buruk kepada baik, dan daripada baik kepada lebih baik lagi. Semua ini memerlukan kesedaran yang berterusan untuk membentuk daya yang boleh melonjakkan diri melepasi halangan terbentuk dalam diri dan persekitaran. 

Kesedaran ingin merubah diri ke arah lebih baik adalah amat penting agar dapat berfungsi sebagai nilai tambah dalam kita menoleh kembali sesuatu peristiwa yang dapat memberi iktibar atau pengajaran yang sugguh berguna kepada diri kita.

Usaha untuk berubah bukan satu perkara yang mudah. Terdapat banyak halangan yang menjadikan usaha itu terbantut. Sebab itu, berubah kepada kebaikan memerlukan semangat yang teguh dan perancangan yang betul.

Halangan biasa menjadikan manusia tidak berdaya berubah memperbaiki diri ialah sifat malas, kejahilan, nafsu dan kurang keyakinan diri. Halangan ini jika tidak ditangani akan menghalang melakukan kebaikan dan menyebabkan kemusnahan. Sikap buruk yang sebati dalam diri umpama seperti kotoran yang sukar dicuci yang memerlukan bahan pencuci khusus.     

Betapa ruginya orang yang mengotorkan hatinya dengan perbuatan sia-sia. Jika tidak dicuci, kotoran itu terus bertambah dan akhirnya merosakkan diri. Tidak ada orang yang waras sanggup melakukan perbuatan sia-sia. 

Justeru, azam adalah peluang untuk menyucikan diri dan meninggalkan perbuatan lama yang buruk, kurang berkualiti dan malas. Setiap masa kita perlu melakukan koreksi dan muhasabah diri terhadap aktiviti seharian bagi mencari sebarang kelemahan diri untuk diperbaiki segera sebelum ia sebati di dalam diri.

Selain halangan dalam diri, terdapat juga halangan persekitaran yang menggagalkan niat untuk menunaikan azam. Halangan itu biasanya pengaruh rakan, budaya masyarakat, tiada sumber kewangan dan kejadian semuajadi di sekeliling. 

Halangan-halangan itu adalah cabaran yang perlu disahut dengan semangat untuk menyempurnakan misi hidup di dunia ini. Ketiadaan kesungguhan untuk melepasi halangan itu menyebabkan seseorang berada di takuk lama. 

Kejayaan tidak mungkin dicapai jika sekadar melakukan separuh hati dan tanpa perancangan. Individu yang ingin berubah menuju kehidupan lebih kebaikan perlu menanam tekad yang kuat untuk melakukannya. 

Masa menanam azam, sudah tentu motivasi untuk mencapainya berada pada tahap tertinggi. Tetapi, apabila ada halangan atau masa berlalu, ia akan menurun. Jadi, untuk mengatasi masalah itu, motivasi yang menurun itu perlu ditingkatkan semula dengan menanam dan menyuburkan azam sepanjang masa.

Usaha berjaya bukan sekadar satu angan-angan. Sebaliknya, usaha itu memerlukan iltizam, keazaman dan keikhlasan melakukannya. Setiap apa yang dirancang hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Cabaran hidup manusia paling berat bukanlah bagaimana untuk mencari kekayaan atau pangkat. Sebaliknya, tugas paling mencabar ialah bagaimana untuk berubah ke arah melakukan perbuatan lebih baik dan menjauhkan keburukan.  

Jangan takut untuk berfikir melakukan perkara hebat dan besar. Individu yang berjaya bermula dengan cara berfikir yang positif.  .

Permulaan kejayaan dalam setiap usaha adalah bermula kejayaan berfikir bahawa kita akan mendapat kejayaan. Sikap ragu dan tidak yakin kepada keupayaan diri akan membawa kepada kegagalan. 

Kita telah berazam. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah berusaha untuk melaksanakannya dengan sehabis juang. Namun, kita hanya hamba-Nya. Berjaya atau gagal ditentukan oleh Allah.  

No comments:

Post a Comment