Wednesday 25 July 2018

MUHASABAH DIRI SAMBUT TAHUN BAHARU

Setiap kali tiba 1 Januari, beberapa persoalan sering menerkam benak fikiran. Adakah dibolehkan umat Islam menyambut kedatangan tahun Masihi yang bukan tahun Islam. Mengapa perlu kita melebih-lebihkan sambutan tahun baru Masih berbanding sambutan tahun baru Hijrah yang pastinya khusus untuk orang Islam. 

Ada beberapa jawapan atau maklum balas berkaitan persoalan itu. Jawapan itu termasuklah yang mengatakan haram menyambut kedatangan tahun baru Masihi yang bukan tahun Islam. 

Hukum haram itu dijatuhkan atas alasan bahawa sambutan tahun baru Masihi mempunyai kaitan dengan agama lain. Justeru, merayakan sambutan tahun baru Masihi dikaitkan sebagai turut merayakan perayaan penganut agama lain.

Dalam hal ini, golongan berpendapat haram merayakan sambutan tahun baru Masihi menggunakan hadis yang bermaksud mengharamkan umat Islam turut merayakan atau menyerupai penganut agama lain.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Bahawa sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia di kalangan mereka." (Hadis riwayat Abu Daud).

Tetapi, banyak ulama yang berpendapat harus bagi umat Islam menyambut tahun baru Masihi, asalkan acara sambutan itu tidak bertentangan dengan tuntutan syariat, budaya dan norma kemanusiaan. 

Dakwaan mengatakan sambutan tahun baru Masihi dikatakan ada kaitan dengan sambutan agama lain disangkal. Masyarakat seluruh dunia tanpa mengira di mana tempat tinggal, agama anutan, kaum dan budaya sama-sama menyambut tahun baru Masihi. 

Malah, agama yang dikaitkan dengan sambutan tahun baru Masihi tidak pula mendakwa itu sambutan khusus untuk agama mereka. Malah, tidak ada apa-apa pun ritual berkaitan agama dilakukan semasa sambutan tahun baru Masihi.  

Tahun baru Masihi disambut berdasarkan kiraan tahun kelahiran Nabi Isa. Tarikh sebelum kelahiran Nabi Isa disebut Sebelum Masihi. Manakala tarikh selepas kelahiran pula disebut Selepas Masihi.

Kita jangan menilai atau melihat kedudukan Nabi Isa dari sudut pandangan penganut agama lain. Nabi Isa juga termasuk dalam bilangan 25 Rasul yang wajib dipercayai atau diperakui kerasulan mereka. Mempercayai rasul termasuk dalam Rukun Iman yang menjadi tonggak keimanan seseorang umat Islam.  

Manusia menggunakan kiraan masa berdasarkan kepada dua kaedah, iaitu berdasarkan kepada peredaran matahari (tarikh as-Syamsi) dan peredaran bulan (tarikh al-Qamari). Tahun Masihi menggunakan tarikh as-Syamsi dan tahun Hijrah pula berdasarkan tarikh al-Qamari. 

Kiraan tahun Masihi telah dianggap tarikh universal yang diterima seluruh penduduk dunia. Sebenarnya terdapat berpuluh-puluh kiraan tahun yang digunakan penganut agama dan kaum, sama ada menggunakan tarikh as-Syamsi atau tarikh al-Qamari. Cara kiraan adalah sama (berdasarkan mana-mana kaedah digunakan), tetapi setiap tarikh penganut agama menggunakan permulaan kiraan secara berbeza dan pelbagai nama yang digunakan. 

Allah mencipta matahari dan bulan beredar di orbit mengikut kiraan masa yang tepat. Jika kedua-duanya berubah masa peredarannya, pasti seluruh sistem planet di orbit akan menjadi kucar kacir. Kejadian itu adalah tanda-tanda terjadinya kiamat.

Kiraan masa menggunakan tarikh as-Syamsi dan tarikh al-Qamari sama-sama penting kepada kehidupan manusia. Peredaran matahari dan bulan dijadikan oleh Allah untuk kebaikan manusia. Jadi, Islam menerima kedua-dua kaedah itu. 

Perkiraan tarikh as-Syamsi menentukan peredaran musim, arah tiupan angin, dan perkara yang secara tetap berulang-ulang dalam tempoh masa setiap setahun Masihi. Maklumat ini memudahkan manusia menentukan aktiviti kehidupan secara lebih berkala dan menjangkakan sesuatu yang akan berlaku secara berulang.

Kita tidak dapat menggunakan tarikh tahun Hijrah untuk menentukan peredaran musim kerana setiap tahun berlalu sentiasa berubah. Kiraan bilangan hari setahun bagi tarikh as-Syamsi ialah 365 hari atau 366 hari (yang ada tarikh 29 Februari dikenali tahun lompat yang berlaku setiap empat tahun sekali). Manakala bilangan hari tarikh al-Qamari adalah 354 hari. 

Keadaan ini menyebabkan hari kebesaran Islam dirayakan pada musim berlainan atau tidak sama dengan tarikh Masihi setiap tahun. Ia akan kembali ke musim asal setiap 33 tahun (satu pusingan lengkap).  

Dengan kata lain, penggunaan tarikh as-Syamsi atau tahun Masihi adalah satu keperluan. Umat Islam perlu menggunakan kedua-dua pengiraan tarikh itu untuk memakmurkan alam ini. Kalau pengguna kiraan tahun Masihi diperlukan untuk tujuan kehidupan seharian, maka harus juga kita menyambut tahun baru Masihi.

Tulisan ini sama sekali tidak membincangkan mengenai pendapat mengenai hukum menyambut tahun baru Masihi. Sebaliknya, apa diketengahkan ialah perkara yang berkaitan dengan sambutan tahun baru Masihi.

Secara kebiasannya, apabila memasuki tahun baru, kita menyambutnya dengan semangat baru, azam baru, diari baru, tempoh masa baru dan sebagainya yang berkaitan dengan bertukarnya tahun baru.

Menilai atau muhasabah diri berdasarkan tempoh masa memang digalakkan. Tidak kiralah tempoh masa itu berdasarkan tahun Hijrah atau tahun Masihi. Apabila yang penting bertujuan memperbaiki diri dan keadaan ke arah lebih baik berbanding sebelumnya. 

Syaidina Umar mengungkapkan kata-kata bermaksud: “Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk dari hari semalam dan hari esoknya lebih buruk dari hari ini.”

Ungkapan itu jelas menunjukkan kepada kita betapa perlunya setiap Muslim meningkatkan keimanan dan nilai kehidupan setiap masa.  

Namun, amat mendukacitakan acara sambutan tahun baru tidak mencerminkan tujuan sebenar. Apakah rasionalnya acara sambutan tahun baru dipenuhi dengan hiburan, tari menari, percampuran bebas lelaki perempuan, meminum arak dan keriangan mengasyikkan. 

Golongan muda mudi menjadikan sambutan tahun baru sebagai pesta yang lebih hebat berbanding hari biasa. Ada pihak penganjur mengambil kesempatan mengadakannya secara lebih terbuka atas alasan sambutan tahun baru.  

Tindakan muda mudi bergembira menyambut tahun baru mencerminkan kehidupan bebas di luar kawalan. Acara sambutan bukan sekadar mengira detik 12 malam, tetepi berlarutan pukul tiga atau empat pagi untuk berhibur.

Pihak berkuasa perlu lebih tegas mengawal acara sambutan tahun baru yang bakal disambut. Semua acara sambutan wajar dihentikan selepas pukul 12.00 tengah malam. Persembahan bermula seawal pukul 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam selama kira-kira 4 jam sudah memadai untuk berhibur.

Tindakan ini penting bagi mengelak daripada menular budaya negatif di kalangan rakyat. Kejatuhan moral rakyat adalah titik permulaan kepada kejatuhan tamadun sesuatu bangsa. Fenomina kejatuhan moral rakyat satu cabaran besar dalam usaha kerajaan memperkasakan prinsip Islam Hadhari, iaitu keutuhan budaya dan moral. 

Ibu bapa seharusnya tidak membenarkan anak menghadiri majlis sambutan tahun baru, kecuali yang dianjurkan secara tertib. Selidik dahulu atur cara yang disusun bagi memastikan tidak terselit program tidak bermoral. Jangan terikut-ikut dengan budaya tidak bermoral yang merosakkan kehidupan. 

Lebih baik jika ahli keluarga mengadakan sambutan tahun baru dengan semua berkumpul di rumah. Majlis boleh diserikan dengan jamuan khas sempena tahun baru. Islam tidak menyebut supaya perkara ini dilakukan semasa sambutan tahun baru Masihi (malah sambutan itu sendiri tidak ada dalam senarai sambutan khusus umat Islam), tetapi sesuatu yang diharapkan mendatangkan kebaikan adalah diharuskan, iaitu mengeratkan hubungan keluarga.     

Sambutan tahun baru hendaklah dilakukan dengan menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh masa baru yang memerlukan semangat, iltizam dan cita-cita untuk menghadapinya. 

No comments:

Post a Comment