Monday 16 July 2018

PENERIMA PERLU HARGAI BANTUAN DISEDIAKAN

Banyak program latihan dan bantuan untuk membuka peluang pekerjaan kepada golongan kurang berkemampuan. Bantuan Akhiri Zaman Miskin (1Azam), Azam Tani, Pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Amanah Ikhtiar dan banyak lagi disediakan untuk membantu golongan miskin. Bantuan itu membolehkan mereka menceburi bidang perniagaan atau aktiviti pertanian yang dapat mengubah kehidupan menjadi lebih baik.

Islam menggalakkan umatnya mencari kekayaan dan kemewahan hidup. Sesungguhnya galakan ini membuktikan Islam tidak menolak kekayaan seperti didakwa oleh sesetengah pihak yang tidak memahami tentang ajaran Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan carilah kebahagiaan di akhirat yang telah Allah janjikan kepada kamu. Tetapi, janganlah pula kamu lupa akan habuan kamu di dunia.” (Surah al-Qashash, ayat 77).

Dalam Islam si miskin tidak dihina, bahkan dilayan sama rata dalam masyarakat. Namun, tidak bermakna kemiskinan satu perkara baik. Sebab itu, setiap orang perlu berusaha untuk mencari rezeki dan mengelak diri terus berada dalam keadaan miskin sehingga terpaksa meminta sedekah atau bantuan orang lain.    

Amalan meminta sedekah untuk memenuhi keperluan hidup seharian ditegah dilakukan, melainkan dalam keadaan terpaksa. Rezeki berada di mana-mana asalkan berusaha mencarinya.  Alasan tidak bekerja disebabkan tiada peluang pekerjaan sengaja dicipta oleh orang malas.   

Kewujudan bantuan kerajaan dan sumbangan golongan kaya kepada golongan miskin tidak patut dijadikan alasan golongan miskin sekadar menanti bantuan diserahkan kepada mereka. Mereka sepatutnya meningkatkan usaha mencari rezeki yang halal. 

Ketua keluarga atau suami bertanggungjawab mencari rezeki untuk memenuhi keperluan sendiri dan ahli keluarga di bawah tanggungan. Sebab itu kedudukan suami dilebihkan dalam haraki keluarga.

Firman Allah SWT bermaksud: “Lelaki adalah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 34)

Dalam Islam tidak ada istilah pengangguran. Di negara kita peluang pekerjaan terbuka luas dalam pelbagai sektor yang boleh diceburi mengikut kelulusan akademik, minat dan kemampuan masing-masing.

Sebenarnya, Malaysia masih mengalami kekurangan tenaga kerja untuk sektor tertentu sehingga terpaksa mengharapkan tenaga kerja asing. Alangkah baiknya jika jawatan itu diisi oleh rakyat Malaysia sendiri, sekaligus mengelak pengangguran dan masalah sosial. 

Sikap rakyat kita terlalu memilih pekerjaan memberi kesan sosial yang buruk. Mereka bukan saja tidak mendatangkan produktiviti kepada ekonomi negara, tetapi juga lebih mudah terdorong melakukan perbuatan tidak berfaedah seperti merempit, lepak dan mengganggu ketenteraman awam. 

Allah SWT memberi ganjaran besar kepada mereka mencari rezeki memenuhi keperluan diri dan keluarga. Perkara ini membuktikan tugas mencari rezeki bukan setakat untuk memenuhi keperluan hidup, tetapi satu tuntutan agama. 

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan purnama.” (Hadis riwayat Thabrani).

Rasulullah SAW mengajar sahabat yang miskin bagaimana cara berusaha mendapatkan rezeki secara berterusan. Hal ini bertepatan dengan pepatah, jika ingin memberikan makanan kepada seseorang, jangan diberikan ikan kepadanya. Sebaliknya, berikan dia pancing dan ajarkan dia cara bagaimana untuk mendapatkan bekalan ikan yang berterusan baginya.

Setiap individu mesti berusaha sendiri mencari rezeki dengan khudrat yang dikurniakan Allah SWT. Mereka yang tidak mahu berkerja dianggap mempersia-siakan nikmat fikiran, tenaga, masa, kemahiran dan peluang yang dianugerahkan Allah SWT.

Contohi sikap orang kurang upaya yang gigih mencari rezeki biarpun dalam keadaan kekurangan keupayaan fizikal. Mereka kuat semangat dan berjiwa besar untuk berdikari dan tidak menjadikan kekurangan sebagai alasan untuk meminta sedekah atau mengharapkan pertolongan orang lain.

No comments:

Post a Comment