Wednesday 25 July 2018

PERKUAT AZAM SAMBUT TAHUN BAHARU

Apabila sebut tahun baharu Masihi, timbul persoalan sejauh manakah kewajaran umat Islam turut meraikannya. Spontan ada yang menjawabnya haram. Yang lain pula mengatakan harus. Paling banyak mengambil pendekatan ikut sahaja.

Islam tidak melarang umatnya menjalankan aktiviti yang boleh mendatangkan kebaikan, selagi ia tidak menjejaskan akidah atau telah dijelaskan tentang haramnya dalam al-Quran, hadis atau ijmak ulama. 

Sambutan tahun baru Masihi perlu dilihat berdasarkan prespektif Islam agar apa yang dilakukan tidak bertentangan dengan syariat Islam. Walaupun dibenarkan dalam Islam, ia boleh menimbulkan pelbagai masalah jika perlaksanaan tidak berlandaskan syariat. 

Tidak dapat dinafikan, penggunaan kalender Masihi lebih meluas di seluruh dunia. Tidak dapat tidak, orang Islam terpaksa menerima penggunaan kalander Masihi untuk urusan berkaitan tarikh dengan masyarakat bukan Islam.

Secara kebiasannya, apabila memasuki tahun baru, kita menyambutnya dengan semangat baru, azam baru, diari baru, tempoh masa baru dan sebagainya yang berkaitan dengan bertukarnya tahun baru. 

Dengan kata lain, perkara dipentingkan dalam sambutan baru ialah dijadikan momentum untuk anjakan paradigma sepanjang tempoh setahun mendatang.  Kita mengharapkan sinar agar tahun hadapan lebih baik dalam segenap segi seperti dalam pekerjaan, ekonomi, pendidikan, kesihatan, hubungan kaum dan semua aspek kehidupan. 

Menilai atau muhasabah diri berdasarkan tempoh masa memang digalakkan. Tidak kiralah tempoh masa itu berdasarkan tahun Hijrah atau tahun Masihi. Apabila yang penting bertujuan memperbaiki diri dan keadaan ke arah lebih baik berbanding sebelumnya. 

Namun, amat mendukacitakan acara sambutan tahun baru banyak yang bercanggah dengan syariat Islam dan budaya Melayu. Kita lebih terpengaruh cara sambutan masyarakat di Barat. Dalam hal ini, Islam menolak keras acara sedemikian. Haram bagi individu Islam menyertai acara menghampirkan diri kepada dosa.

Nampaknya, acara sambutan tahun baru bukan untuk menjana semangat positif. Sebaliknya, yang diutamakan ialah hiburan, tari menari, percampuran bebas lelaki perempuan, meminum arak dan keriangan mengasyikkan.   

Golongan muda mudi menjadikan sambutan tahun baru sebagai pesta yang lebih hebat berbanding hari biasa. Keadaan bertambah teruk apabila ada penganjur mengambil kesempatan mengadakannya secara lebih terbuka atas alasan sambutan tahun baru. Acara berhibur berlarutan pukul tiga atau empat pagi.

Pergaulan bebas mudah merangsang kepada hubungan seks. Keadaan ini menjadi semakin ketara apabila mereka berada dalam pengaruh arak dan dadah. Penggunaan dadah jenis amphetamine type stimulants (ATS) seperti ice, estasy, syabu dan ketamin semakin meningkat di kalangan remaja yang ingin berhibur secara berterusan.

Arak dan dadah menjadi dua unsur merosakkan remaja kita. Kedua-duanya bukan sahaja haram di sisi Islam, tetapi juga adalah perbuatan tidak bermoral di sisi agama lain. Semua penganut setia agama tidak mengamalkan perbuatan menganiayai diri sendiri.  

Satu lagi amalan buruk dilakukan pada sambutan tahun baru ialah mat rempit berpesta. Mereka mengambil kesempatan mempamerkan aksi maut ketika orang ramai berpusu-pusu ingin merayakan sambutan tahun baru.

Berdasarkan itu, amatlah wajar pihak berkuasa lebih tegas mengawal acara sambutan tahun baru yang bakal disambut. Lebih baik jika acara tidak diadakan secara terbuka.  Ini tidak mencacatkan semangat dan cita-cita tahun baru.  

Tindakan ini penting bagi mengelak daripada menular budaya negatif di kalangan rakyat. Kejatuhan moral rakyat adalah titik permulaan kepada kejatuhan tamadun sesuatu bangsa. Sambutan tahun baru sepatutnya dimulai dengan kebaikan dan bukannya perbuatan yang jelas mendatangkan keburukan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Cukuplah jika sambutan diadakan di peringkat keluarga yang diadakan di rumah. Ketika itu, masing-masing cuba bermuhasabah diri sendiri mengenai pencapaian yang lalu dan meningkatkan lagi pada masa akan datang. Keadaan lebih tenang dan merapatkan hubungan keluarga.

Di peringkat jabatan atau organisasi, sambutan tahun baru boleh diadakan ketika sesi awal sebelum memulakan tugas hari pertama tahun baru. Pegawai atau pihak pengurusan boleh menyampaikan ucapan menyeru agar setiap individu dapat mempertingkatkan prestasi masing-masing.

Sambutan tahun baru hendaklah dilakukan dengan menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh masa baru yang memerlukan semangat, iltizam dan cita-cita untuk menghadapinya.

Tahun baru sepatutnya dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang telah dilalui sepanjang setahun. Berdasarkan apa telah berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang sesuatu lebih baik untuk tahun baru. 

Namun sebenarnya, azam baik tidak seharusnya ditunggu hanya apabila sambutan tahun baru. Setiap masa kita dituntut agar untuk melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding sebelumnya. Jika telah melakukan kesilapan, cepat-cepatlah memperbetulkannya. 

Sekiranya melibatkan dosa, sebaik menyedarinya hendaklah terus bertaubat yang menjadi lambang atau tanda tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu. Salah satu tanda taubat ialah berazam meninggalkan amalan buruk dan beralih melakukan perbuatanb baik.

No comments:

Post a Comment