Terdapat golongan melakukan propaganda
untuk menimbulkan suasana tegang hubungan antara kaum dan agama. Mereka tidak
memikirkan kesan tindakan yang dilakukan, walaupun boleh mendatangkan ancaman
terhadap keselamatan negara.
Kumpulan ini layak dikategorikan sebagai
ektremis atau al-ghaugha. Mereka sengaja mencipta sesuatu tindakan atau suasana
bertujuan memecah belahkan perpaduan ummah. Antara cara paling berkesan ini
menyebarkan fitnah bertujuan menghilangkan kepercayaan di kalangan rakyat.
Gerakan al-ghaugha biasanya dicetuskan oleh
individu atau kumpulan tertentu secara terancang. Namun, dalam kebanyakan
situasi gerakan al-ghaugha merebak sebagai satu gerakan massa yang menarik
minat rakyat kebanyakan untuk turut serta.
Sesungguhnya menentang pemimpin amat
ditegah dalam ajaran Islam. Golongan ini tidak peduli perintah Allah SWT
walaupun mereka mendakwa berjuang demi agama. Sesiapa yang menentang pemimpin
samalah menentang Rasulullah SAW.
Perkara ini dapat difahami daripada hadis
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang taat kepadaku, bererti dia taat
kepada Allah, sesiapa yang derhaka kepadaku bermakna dia derhaka kepada Allah;
sesiapa yang taat kepada pemerintah bermakna dia taat kepadaku, dan sesiapa
yang derhaka kepada pemerintah bermakna dia derhaka kepadaku.” (Hadis riwayat
Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasaai dan Ibnu Majah).
Dalam konteks undang-undang untuk mencegah
al-ghaugha agak sukar kerana mereka tidak kelihatan sebagai penjenayah atau
melakukan kesalahan yang membolehkan pihak berkuasa membuat tangkapan, didakwa
dan dijatuhi hukuman. Tambahan pula jika mereka bergerak atas dasar politik dan
kebebasan rakyat.
Golongan ini sengaja mencari alasan untuk
menyalahkan pihak lain dengan membuat tudingan dan fitnah tanpa memperjelaskan
permasalahan sebenar yang berlaku. Mereka pandai menyalahkan, tetapi tidak ada
sebarang cadangan atau tindakan membantu untuk menyelesaikan masalah.
Sebenarnya, mereka lebih suka masalah berlarutan, bahkan akan mencipta lebih
banyak masalah bertujuan tidak ingin melihat negara tidak stabil.
Gerakan itu juga tidak menamakan kumpulan
secara khusus kecuali melalui slogan dan nama digelarkan oleh pihak lain.
Pelbagai aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam dilakukan kononnya
atas prinsip kebebasan dan menuntuk keadilan. Sekiranya perbuatan mereka
dihalang, maka dikatakan melanggar hak asasi manusia.
Terdapat al-ghaugha bertujuan menyokong
individu dan kumpulan tertentu yang tidak mendapat sokongan umum melalui kaedah
biasa. Individu yang dijulang itu didakwa yang terbaik.
Kemunculan golongan al-ghaugha memberi
kesan amat buruk kepada seluruh rakyat. Sejarah pembunuhan Khalifah Uthman
Affan berpunca daripada golongan ini. Mereka bertindak menimbulkan kekacauan
dan suasana tegang dalam negara. Fitnah dan rasa kebencian ditiup kepada rakyat
untuk membenci sesama sendiri.
Golongan itu menjadikan fitnah untuk
menghakis ketaatan dan kepercayaan rakyat kepada pemimpin. Akibat serangan
bertali arus dan disokong penduduk yang mudah terpengaruh dengan fitnah,
keamanan ummah tidak mampu dipertahankan lagi.
Khalifah Ali bin Abi Talib yang dilantik
sebagai pengganti Khalifah Uthman tidak mampu untuk menghentikan kebencian
rakyat kepada pemerintah. Struktur masyarakat hampir tidak terkawal dan
huru-hara terjadi di mana-mana. Keadaan pulih hanya setelah Ali mengambil
langkah tegas dalam memerangi golongan ini.
Al-ghaugha tidak melakukan tindakan
ketenteraan dalam mencapai matlamatnya. Mereka muncul secara ekstrem dalam
menguasai pemikiran orang ramai agar menyokong perjuangan yang ditetapkan. Api
fitnah, khabar angin dan menyalahkan segala yang dilakukan pihak yang ingin
dikalahkan dan menghilangkan keyakinan orang ramai.
Oleh itu kita perlu menolak sebarang bentuk
khabar fitnah. Fitnah mendatangkan bahaya yang besar kepada masyarakat. Kesan
fitnah mungkin tidak kelihatan secara jelas tetapi membakar secara
senyap-senyap seperti api membakar sekam.
Akibat terpengaruh dengan fitnah mendorong
orang ramai mempercayai keburukan dilakukan oleh seseorang sedangkan ia tidak
pernah melakukannya. Sekiranya yang ditujukan fitnah itu terhadap pemimpin
sudah pasti menyebabkan rakyat hilang keyakinan dan kepercayaan terhadapnya
lagi.
Rakyat yang mudah terpengaruh dengan fitnah
disebarkan oleh al-ghaugha tidak akan menyokong pemimpin. Rakyat terus
terpengaruh dengan gerakan al-ghaugha dan turut serta melakukan apa-apa
tindakan yang mengancam kestabilan dan keselamatan negara. Sesiapa menyokong
al-ghaugha maka dirinya juga telah menjadi al-ghaugha.
Dalam menjelaskan kesan buruk al-ghaugha,
Khalifah al-Makmun berkata: "Setiap kejahatan dan kezaliman di dunia ini
berasal dari al-ghaugha. Merekalah pembunuh para Nabi bahkan sesiapa sahaja
yang dianggap musuh. Mereka memecahbelahkan para ulama dan merosakkan
orang-orang yang hidup dalam limpahan kasih sayang. Mereka adalah pencuri,
perompak dan orang-orang yang sombong."
Hakikat ini tidak dapat disangkal berdasarkan
kepada masalah yang wujud berkaitan hubungan sesama rakyat dan rakyat dengan
pemimpin menjadi kecoh dan tegang apabila ada pihak yang memainkan peranan
sebagai al-ghaugha. Al-ghaugha menyelinap dalam segenap peringkat
masyarakat.
Kita mungkin tidak menyedari telah
tergolong sebagai al-ghaugha dengan alasan tindakan yang dilakukan bertujuan
mendatangkan kebaikan. Ramai yang terlibat dalam kumpulan yang bertentangan
dengan kehendak masyarakat umum dengan alasan menegakkan keadilan. Mereka rasa
tertindas lantas melakukan sesuatu tindakan yang terkeluar dari lunas-lunas
undang-undang.
Al-ghaugha yang bersatu dalam satu aliran
pemikiran, kehendak dan matlamat merebak menjadi satu kuasa sehingga mampu
menggugat keselamatan negara. Al-ghaugha yang asalnya sekadar disertai
segelintir kecil rakyat boleh bertukar menjadi kumpulan besar dan berkuasa.
Banyak kuasa besar runtuh berpunca dari gerakan al-ghaugha secara kecil-kecilan
yang tidak diambil tindakan awal mengawalnya.
Al-ghaugha termasuk juga di kalangan
golongan pemimpin yang kecewa tidak terus terpilih untuk memimpin atau tidak
dicalonkan untuk sesuatu jawatan. Perasaan tidak puas hati dicutuskan dengan
melahirkan al-ghaugha yang setia dengannya. Al-ghaugha politik tidak tetap
pendirian dalam menyatakan perkara sebenarnya apabila berdepan rasa tidak
puashati.
Ingatlah, meruntuh atau menghancurkan
sesuatu yang sedia ada adalah lebih mudah berbanding membina untuk membinanya
mengambil masa yang panjang. Kekuatan empayar besar boleh runtuh disebabkan
al-ghaugha kerana ia umpama api dalam sekam yang membakar dari dalam. Sejarah
kejatuhan empayar besar adalah berpunca daripada gerakan ini mendapat sokongan
daripada pihak luar.
Oleh itu berhati-hatilah. Sejarah lalu
boleh berulang di negara kita jika perkara ini tidak ditangani segera. Rakyat
yang sayangkan negara mesti sentiasa bersangka baik terhadap pemimpin.
Sekiranya tidak berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan pemimpin, tolaklah
mereka secara apa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan, iaitu melalui
pilihan raya.
No comments:
Post a Comment