Apabila mati tidak bawa pangkat. Itu hakikat yang semua orang
tahu. Jadi, jangan sombong dengan pangkat dan kekayaan yang dimiliki.
Dalam Islam, jenazah hanya akan dibalut dengan kain putih
dan dikebumikan di liang lahad yang tidak membezakan pangkat dan kekayaan.
Harta akan diwariskan kepada ahli keluarga yang layak.
Pangkat dan jawatan pula diambil oleh orang lain.
Dalam memperkatakan pangkat dan harta, jangan kita ada iri
hati, dengki dan cemburu kepada orang lain. Jangan kita kata bukan-bukan
mengenai mereka.
Ingatlah, pangkat dan harta tidak dibawa selepas mati,
tetapi orang yang ada sikap iri hati, dengki dan cemburu akan membawanya selepas
mati dan akibatnya boleh membawa ke neraka.
Lebih parah lagi jika ditambah dengan fitnah, sangka buruk
dan dendam terhadap orang berpangkat dan berharta.
Sekiranya kita melihat orang berpangkat dan berharta, kita
hendaklah berdoa agar pangkat dan harta itu juga menjadi milik kita, tanpa mengurangkan
pangkat dan harta orang lain.
Itu pun, jika kita inginkan dan layak perkara yang sama.
Kerana dalam banyak perkara kita sebenarnya tidak layak untuk memilikinya.
Jadi, bersyukurlah apa yang ada.
