Tuesday, 2 June 2026

BANGKIT MEMBELA AGAMA DEMI ANAK CUCU

 
Apabila orang Melayu bersuara membangkitkan haknya, mereka dianggap rasis. Adapun apa yang dilakukan oleh pihak lain pula, dianggap sebagai kebebasan bersuara.

Allah mewajibkan umat Islam bersatu dengan berpegang kepada agama bagi meninggikan Islam, bukan semata-mata untuk bertakhta dan berharta.

Malangnya, umat Islam di Malaysia lebih cenderung berpecah dan berbalah disebabkan kuasa politik. Perebutan kuasa dijadikan agenda penting biarpun sedar tindakan itu akan melemahkan Melayu dan Islam.

Apabila berada di landasan politik berlainan nama, walaupun mengaku memperjuangkan asas yang sama, mereka akan saling berbalah dan melemahkan antara satu sama lain.

Umat Islam diharamkan berpecah belah disebabkan urusan keduniaan yang melemahkan mereka.

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung! Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah! Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat  45-46)

Ada kalangan yang menunjukkan ketidaksetiaan terhadap agama, bangsa dan negara secara terbuka dan halus, sehingga mengundang pengaruh penjajahan politik, ekonomi dan sosial tanpa hala tuju untuk memperkasakan kedaulatan negara dan umat.

Keadaan ini menyebabkan negara mudah dicatur oleh kuasa asing yang bersaing, dan ditembusi serangan pemikiran yang meruntuhkan akhlak lalu tunduk kepada nafsu kebendaan yang diberhalakan.

Bangkitlah membela agama dan bangsa. Jangan saling melemahkan. Jauhi sikap mementingkan diri dan kelompok sendiri sahaja.

Fikirkan tentang nasib anak cucu kita pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment