Rezeki
itu tidak akan datang bergolek jika tidak diusahakan. Justeru, setiap orang
perlu bekerja mengikut kemampuan masing-masing untuk mendapat rezeki mencukupi
untuk diri sendiri dan keluarganya.
Dunia
yang terbentang luas ini menyediakan rezeki yang mencukupi untuk setiap
penghuninya. Allah SWT menjadikan dunia ini ladang untuk manusia mendapat
nikmat di dunia dan menyediakan bekalan untuk kehidupan di akhirat melalui
setiap usaha yang dilakukan.
Firman
Allah SWT bermaksud: “Dan tuntutlah dengan kurniaan yang telah dilimpahkan
Allah kepadamu itu kebahagian hari akhirat dan janganlah engkau melupakan
bahagianmu (keperluan dan bekalan) dari dunia.” (Surah al-Qasas, ayat 77)
Sesungguhnya,
rezeki yang dijanjikan oleh Allah SWT berada di mana-mana asalkan kita berusaha
mencarinya. Mencari bahan kitar semula dalam timbunan sampah juga mampu menyara
keluarga.
Biarpun
kerja itu menyebabkan badan kotor, tetapi yang penting ialah kebersihan hati
berusaha untuk mencari keredaan Allah SWT. Apa yang penting usaha itu
halal dan memberi kebaikan, ia dipandang mulia oleh Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Tidak makan seorang itu sebarang makanan pun lebih baik daripada dia memakan
makanan daripada hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud mengambil
makanan dari usaha tangannya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)
Keberkataan
rezeki bukan berdasarkan banyak mana yang diperoleh. Akan tetapi
bergantung sejauh mana ia dapat memberi kebahagiaan hidup, kesejahteraan,
kedamaian, keselamatan, dijauhi daripada fitnah dan memberi kebaikan. Walaupun
yang diperoleh itu sedikit, rezeki yang diberkati lebih bermakna berbanding
rezeki haram yang banyak.
Mana-mana
rezeki yang diperoleh secara tidak halal seperti dengan cara menipu, rasuah,
perjudian dan sebagainya tidak mendatangkan kebahagiaan kepada pemiliknya.
Anak-anak
yang dibesarkan dengan makanan dibeli menggunakan wang haram akan mendatangkan
masalah kepada ibu bapa seperti perbuatan derhaka dan melakukan perkara yang
mendatangkan aib kepada keluarga.
Setiap
muslim perlu bersungguh-sungguh mencari rezeki agar tidak perlu meminta-minta
daripada orang lain. Allah SWT tidak akan mengubah nasib mana-mana
individu atau kaum, jika diri sendiri tidak mahu berusaha mengubahnya.
Kemiskinan
bukan satu takdir, atau bala yang tidak boleh diubah. Allah SWT
memerintahkan agar manusia berusaha mengubah nasib masing-masing menjadi lebih
baik.
Firman
Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah
ar-Rad ayat 11).
No comments:
Post a Comment