Saturday, 5 June 2021

BATASAN HUBUNGAN LELAKI WANITA

Allah mencipta manusia berpasangan, lelaki dan perempuan yang saling memerlukan antara satu sama lain bagi melengkapkan kehidupan sosial dan seksual. 

Firman Allah bermaksud: “Dan di antara tanda kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenis kamu, agar kamu cenderung dan tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu rasa kasih sayang.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Islam menetapkan cara terbaik baik bagi lelaki dan perempuan memenuhi keperluan hidup mengikut keinginan dan keperluan mereka.   

Hubungan itu perlu dilangsungkan mengikut peraturan dan hubungan yang dibenarkan. Pematuhan peraturan ini mempunyai banyak hikmat dan membezakan antara kehidupan manusia berbanding haiwan. Allah mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian dan ia perlu terjemahkan melalui cara hidup.

Islam menetapkan perkahwinan adalah hubungan yang halal bagi lelaki dan perempuan memenuhi keperluan hidup berpasangan.

Undang-undang atau peraturan berkaitan perkahwinan dan kekeluargaan adalah yang tertua bagi manusia.

Banyak orang memilih jalan salah dalam memenuhi tuntutan seks. Banyak pasangan yang tidak mempunyai ikatan halal, yakni bukan suami isteri, melakukan hubungan seks tanpa merasa bersalah atau berdosa.   

Perbuatan menyamai sikap haiwan itu bukan setakat melibatkan golongan bawahan, bahkan individu yang punyai kedudukan dan terkenal. Mereka terpangaruh dengan cara atau amalan masyarakat di Barat yang berbangga memperkenalkan pasangan bersekedudukan dan menjadikan bahan seks untuk meraih populariti. 

Perbuatan zina diharamkan kerana ia perbuatan keji melanggar ketetapan agama. Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina kerana sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.” (Surah al-Israk, ayat 32).

Biarpun zina dilakukan dengan kerelaan pasangan terlibat, ia adalah ‘jenayah’. Hukuman terhadap penzina perlu dilaksanakan di dunia seperti kesalahan membunuh, mencuri dan perogol, sebagai pengajaran kepada semua terutama mereka mempunyai keinginan melakukannya. 

Golongan yang menjadikan seks perkara mudah berpunca lemahnya iman dan takwa. Mereka mudah dipengaruhi oleh syaitan yang amat bijak memperdaya manusia melakukan kejahatan melibatkan nafsu seks.

Pergaulan bebas dan ditambah pula dipengaruhi oleh dadah, arak dan bahan memamparkan unsur seks seperti buku, filem, gambar dan aksi lucah mendorong seseorang melakukan zina. 

Justeru, Islam menggariskan batasan hubungan di antara lelaki dan perempuan agar tidak mudah diperdaya oleh syaitan. Lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan tidak dibenarkan berada berdua-dua di tempat terlindungan pandangan daripada orang ramai. 

Rasulullah SAW mengingatkan perkara tersebut melalui sabda bermaksud: “Jangan sekali seorang lelaki bersama-sama dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana yang ketiganya adalah syaitan, kecuali kalau ada mahramnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

No comments:

Post a Comment