Thursday 22 July 2021

TIMBALAN PERDANA MENTERI LAWAT LAPAN BERADIK YATIM PIATU

Covid-19 terus mengganas. Mangsa tidak mengenai status kekayaan, pendidikan, kedudukan dan sebagainya. Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa musuh yang tidak kelihatan ini.

Itulah hakikat dialami lapan beradik yang menjadi yatim piatu apabila kedua ibu bapa mereka meninggal akibat Covid-19.

Bapa mereka, Benyajeed Bernie, 45, meninggal dunia pada 16 Julai manakala ibu mereka, Noraini Ibrahim, 43, pula pada 18 Julai akibat Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengetahui nasib malang menimpa lapan beradik tersebut meluangkan masa menziarahi adik Nazurah Nabilah di Bukit Beruntung, Rawang.

“Secara peribadi, saya amat sedih apabila melihat sendiri mata mereka yang berkaca dan wajah yang menyimpan kepiluan kerana kehilangan ibu bapa yang disayangi.” tulis Ismail Sabri di FBnya.

“Mereka adalah lapan beradik menjadi yatim piatu kerana kematian ibu bapa mereka akibat COVID-19.

“Kerajaan akan terus membantu serta memberi penumpuan kebajikan anak-anak Allahyarham Benyajeed Bernie.

“Boustead Holding Berhad, anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengambil mereka sebagai anak angkat dan akan membiayai pengajian anak-anak Allahyarham sehingga berumur 18 tahun.

“Salah seorang anak Allahyarham bernama Muhammad Muzzakir pula akan ditawar bekerja secara tetap di Boustead.” tambah Ismail Sabri lagi.

Nazurah Nabilah Benyajeed, 19, bersama tujuh adiknya yang berumur antara 18 hingga empat tahun kini tinggal di rumah saudara mereka di Bukit Beruntung, Rawang.

No comments:

Post a Comment