Thursday 2 June 2022

KANAK-KANAK BERMAIN DI LUAR LEBIH CERDAS MENTAL

 
Kanak-kanak memperoleh banyak faedah kesihatan secara fizikal dan mental apabila mereka meluangkan masa di luar. Berada dalam persekitaran semula jadi boleh meningkatkan kemahiran fizikal dan menggalakkan kreativiti.

Satu kajian di Scandinavia mendapati bahawa kanak-kanak (5-7 tahun) menunjukkan gaya bermain yang serba boleh dan kecergasan motor lebih baik selepas sembilan bulan bermain di luar, berbanding dengan satu lagi kumpulan yang tidak bermain di luar.

Bermain di luar harus digalakkan sebagai sebahagian proses penting dalam tumbesaran dan perkembangan anak anda. Ini juga peluang yang baik untuk mereka belajar menghargai alam semula jadi.

Kehidupan yang aktif ialah penyumbang utama kepada tumbesaran fizikal yang baik. Anak anda akan mendapat manfaat dengan berlari, melompat, memanjat, berenang dan bermain di luar.

Bermain di luar akan meningkatkan keimunan. Bermain di luar membantu merangsang sistem imun anak anda. Ini datangnya daripada kesihatan fizikal yang  lebih baik dan juga pendedahan kepada pelbagai mikroorganisma yang membantu mematangkan sistem imun.

Kajian menunjukkan bermain di luar menyumbang kepada kesejahteraan mental yang lebih baik ketika dewasa. Perkembangan deria, kognitif dan sosial/ emosional akan meningkat. 

Kajian ini juga mengaitkan masa bermain di luar dengan kualiti hidup lebih baik untuk kanak-kanak di bandar, dan bermain bersama rakan sebaya meningkatkan kebolehan sosioemosi. Apabila kanak-kanak bermain di luar, mereka lebih bebas untuk bermain.

Bermain di luar menggalakkan kreativiti dan imaginasi. Kanak- kanak meneroka dunia menerusi aktiviti bermain, dan bermain di luar membolehkan mereka meneroka, mencipta dan mengubah cara bermain.

Biarkan anak anda bermain tanpa struktur di mana dia boleh menetapkan peraturan. Dalam kata lain, biarkan mereka menjadi kanak-kanak dan lupakan sebentar tentang tahap perkembangan atau memenuhi standard dan jangkaan.

No comments:

Post a Comment