Sebelum kedatangan Islam di Tanah Melayu,
masyarakat Melayu telah mengamalkan pelbagai adat. Dalam situasi ini, mana-mana
adat diamalkan sesuai dan selari dengan matlamat dan prinsip Islam, ia
diteruskan sebagai satu adat yang diterima. Sebagai contohnya, adat
bersanding.
Manakala, mana-mana adat yang bercanggah
dengan syariat ditolak seperti adat mempercayai tenung nasib yang ditegah
syarak. Firman Allah SWT surah al-Maidah ayat 90 bermaksud: “Wahai orang
beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib
adalah najis (haram), dan ia dari perbuatan syaitan.”
.
Manakala ada adat dipinda atau perbaiki
agar selari dengan matlamatnya. Contohnya, kebiasannya pengantin perempuan
mendedahkan aurat ketika bersanding. Namun, kini atas kesedaran agama,
kebanyakan pengantin wanita bersanding dalam keadaan menutup aurat.
Mana-mana adat yang sahih wajib diberi
perhatian dalam perundangan dan kehakiman dalam proses menentukan
hukum. Hakim juga perlu mengambil kira adat dalam menentukan keputusan
penghakiman. Ini kerana sesuatu adat telah menjadi sebahagian keperluan
dan kepentingan masyarakat.
Adat berdoa diketuai imam diamalkan
masyarakat Melayu ada keperluannya. Biasanya jika doa tidak diketuai imam, maka
tidaklah banyak orang melakukannya. Jadi, untuk membiasakan amalan berdoa,
maka adatnya ia diketuai oleh seeorang.
Manakala adat batal mesti ditolak.
Contohnya adat mandi tolak bala pada bulan Safar. Amalan itu tidak termasuk bab
darurat atau maslahat untuk terus mengharuskannya. Masyarakat tidak
pincang jika adat itu tidak diteruskan.
Ataupun adat menangguhkan pengembumian
jenzah kerana perlu diadakan bedah siasat dikira sebahagian daripada darurat
yang mengharuskan perkara dilarang.
Tidak dapat dinafikan adat merupakan tempat
rujukan bagi perlaksanaan hukum. Pun perlu ditegaskan, perbezaan perlaksaan
hukum kerana mengikut perbezaan adat bukanlah perbezaan dalam hukum, tetapi
hanya dalam perlaksanaan. Hukum tetap satu daripada Allah SWT.
Hukum syariat diperundangkan untuk
kepentingan manusia seluruhnya. Ini berdasarkan kepada beberapa keadaan.
Syariat Islam telah membiarkan banyak
perkara yang tidak ditetapkan mengenainya, bahkan memberi peluang adat
menentukannya.
Firman Allah SWT bermaksud: "Dan
hendaklah kamu mempersiapkan dua orang yang adil dari kalangan kamu."
(Surah at-Talak, ayat 2).
Apa yang dimaksudkan adil dalam ayat
itu? Ini bermakna memberi peluang untuk para fuqaha memperincikan
adil itu berdasarkan kepada keperluan adat yang diterima. Setiap masyarakat
mempunyai takrif adil yang berbeza. Antara yang menentukan sifat adil ialah
orang menjaga maruah. Sedangkan, istilah menjaga maruah berbeza antara
golongan dan kawasan.
Contohnya, golongan raja menjaga maruah
dengan menggunakan bahasa istana Jika mereka menggunakan bahasa
orang kebanyakan, maka sudah dianggap menjatuhkan maruah, sedangkan perbuatan
itu tidak pula bagi golongan biasa. Maka hukum syariat di sini berbeza dengan
sebab perbezaan tersebut.
Perubahan hukum disebabkan perubahan
masa. Tidak dinafikan adat dan keperluan manusia berubah mengikut
masa. Sesungguhnya hukum-hukum dikeluarkan ulama terdahulu berasaskan
kepada adat ketika itu.
Contohnya, ulama silam menghukumkan merokok
sebagai makruh kerana tidak ada bukti ia membahayakan kesihatan. Tetapi
ulama terkini menghukum perbuatan itu sebagai haram kerana bukti perubatan
jelas menunjukkan perbuatan itu membahayakan kesihatan. Setiap yang
memdatangkan mudarat adalah haram. Ini menunjukkan perubahan itu
berdasarkan kepada perubahan masa.
Perbezaan hukum berdasarkan perbezaan
tempat. Sesungguhnya, cara hidup manusia berbeza mengikut tempat
tinggal. Mereka memerlukan hukum tertentu untuk digunapakai di tempat
berkenaan. Contohnya, orang di kawasan kutub menghadapi kesukaran
menentukan waktu sembahyang, yang mana waktu siangnya berbulan-bulan dan begitu
juga waktu malam.
Maka ulama perlu mencari kaedah yang boleh
diterima pakai, berbanding biasa berdasarkan kedudukan matahari di tempat
berkenaan. Antara yang diputuskan ulama untuk dijadikan asas hukum bagi
penduduk di kawasan berkenaan menentukan waktu sembahyang ialah menggunakan
waktu negara terdekat dengan mereka.
Gambar sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment