Wednesday, 24 May 2023

MELAYU MESTI KUAT PERTAHANKAN KEDUDUKAN

  
Berjuang atas nama bangsa dengan kebaikan yang dituntut oleh Islam tidak menjadi kesalahan. Apa yang salah ialah apabila berjuang atas nama bangsa sehingga menindas dan memusuhi bangsa lain.

Sepanjang Melayu berjuang untuk Melayu, bangsa lain tidak ditindas. Kaum lain dapat hidup aman dan mencari rezeki dengan baik. Bahkan, kaum lain mendapat kekayaan lebih banyak berbanding kaum lain. Jadi, di mana salahnya berjuang atas nama Melayu?
 
Wahai Melayu, sedar, insaf dan bangkit bersatu demi mempertahankan Melayu serta peribumi daripada berdepan dengan kehancuran agama, bangsa dan tanah air.
 
Jangan biarkan generasi merempat di tanah sendiri, Jangan biarkan ayam mati kelaparan di kepuk sendiri dan itik kehausan di kolam sendiri. Jangan satu ketika nanti kubur kita menjadi tandas awam untuk dikencing oleh anak cucu kita.
 
Melayu mesti kuat untuk hadapi cabaran masa kini. Kuat Melayu bermakna Islam hebat di Malaysia. Sesiapa berusaha bina Melayu kuat, itu juga cara berjuang untuk Islam.
 
Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan mengenai takrif Melayu adalah beragama Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Maka, jika seorang Melayu meninggalkan Islam, bermakna dia tidak lagi dianggap Melayu.
 
Dengan kata lain, jika memperjuangkan Melayu, bermakna memperjuangkan Islam. Akar Melayu itu Islam. Banyak Melayu di Malaysia asalnya bukan Tanah Melayu, hingga ada dari benua India. Mereka jadi Melayu melalui Perkara 160 (2) yang kata akarnya adalah Islam. 
 
Pesan Hasan Al-Banna: "Jika bangsa Arab terhina, hinalah Islam". Ungkapan pesanan itu sesuai digunakan untuk bangsa Melayu. Jika bangsa Melayu terhina, maka hinalah Islam. Maka, bangsa Melayu mesti menjdi bangsa berkuasa, hebat dan dihormati agar Islam juga dihormati.
 
Sepatutnya titik persamaan atas dasar Melayu dicari dan diperkuatkan. Namun apa yang berlaku ialah mencari titik perbezaan yang sengaja dicipta semata-mata kerana kepentingan mendapat sokongan politik untuk mendapat kuasa, tanpa perhitungan baik dan buruk, aman dan huru-hara.
 
Titik perbezaan fahaman politik menyebabkan ada yang menyatakan tidak senang terhadap beberapa perkara yang membela Melayu dan Bumiputera. Mereka menyokong apa yang difahamkan atau diarahkan oleh parti politik atau pemimpin yang menajanya.
 
Marilah kita bersatu demi Melayu dan Islam. Buatlah aktiviti atau usaha yang memperkasakan Melayu.
 
Kita orang parti. Parti keramat UMNO. Ikut apa yang telah digariskan oleh pemimpin. Kita ikut. Kita patuh. Kita lakukan apa yang diarahkan. Jangan bimbang apa yang orang lain buat, tetapi bimbanglah apa yang kita tidak buat untuk kebaikan UMNO.
 

No comments:

Post a Comment