Tatu adalah hasil ciptaan karya seni yang
menggunakan media kulit atau tubuh manusia. Di zaman sekarang ini, tentu dapat
dijumpai pada kebanyakan orang, terutama di kalangan anak-anak muda.
Bentuk dan corak tatu beragam. Macam-macam.
Namun, suatu penghayatan yang kerap kali muncul dari mulut orang adalah bahawa
tatu mempunyai kaitan dengan individu itu sendiri. Orang yang memiliki tatu
kerap dianggap sebagai individu berwatak keras dan jahat.
Namun, ia jauh berbeza dengan suku Dayak
dalam soal bertatu. Bagi suku Dayak, tatu (seni merajah tubuh) merupakan
ungkapan berkaitan konsep alam semesta dan status sosial. Tatu mendapat tempat
terhormat pada budaya dan seni suku Dayak. Memiliki tatu merupakan hal yang
lumrah mengingat setiap ukiran itu menekankan aspek ciri khas dan makna-makna
penting lainnya.
Proses penciptaan sebuah karya seni
dipengaruhi oleh banyak faktor. Salah satu faktor terpenting adalah budaya
tempat masyarakat karya seni itu lahir dan terbentuk. Sebuah karya seni adalah
ekspresi perasaan, emosi dan idea-idea yang muncul dalam berhubung kait dengan
budaya masyarakatnya.
Sebuah karya seni dapat menjadi cerminan
bahkan sumber pengetahuan dari nilai sosial budaya masyarakat pemilik seni
tersebut. Karya seni merupakan ungkapan hidup atas realita sosial dan budaya
masyarakat. Seni memiliki roh yang menghidupkan, daya pendorong dan penggerak.
Setiap hasil seni mengandungi makna yang berkaitan dengan masyarakatnya.
Demikianlah halnya dengan karya seni tatu dalam masyarakat Dayak.
Kebiasaan menatu bagi suku Dayak merupakan sebahagian
dari budaya yang mempunyai nilai tinggi. Tatu merupakan satu di antara seni
yang sangat penting dan memiliki nilai berkaitan acara keagamaan terutama di
kalangan lelaki.
Seni tatu mmpunyai hubungan dengan
kepercayaan keagamaan, sama seperti banyak hal lain dalam kehidupan suku Dayak.
Perbedzan dalam gambar-gambar yang dibuat merupakan salah satu ciri utama bagi
subsuku yang beraneka ragam.
Masyarakat Dayak di Sarawak mengamalkan
kehidupan yang penuh dengan adat dan kepercayaan yang telah bertahan sejak
berkurun lamanya. Selain terkenal dengan ruai rumah panjang dan sejarah pemburu
kepala, mereka juga mempunyai keunikan tradisi mencecah tatu yang dilakukan
menggunakan teknik ketukan. Dari kaki ke tangan dan juga seluruh badan, setiap
tatu yang dilukis menyimpan kisah-kisah tersendiri.
Ukiran tatu yang paling lazim dan pertama
kali dicacah pada tubuh kaum lelaki masyarakat Iban adalah bunga terung.
Bentuknya menyerupai bunga terung, dipadankan dengan ukiran gelung atau ‘tali
nyawa’ membelit di tengah-tengahnya yang menggambarkan simbol kitaran hidup si
pemakai dari zaman kanak-kanak sehingga mereka menginjak dewasa.
Tatu bunga terung ini dicacah pada
kedua-dua belah bahagian antara luar lingkaran tulang selangka dan bahu, tempat
di mana tali beg biasanya tergalas.
Kanak-kanak lelaki Iban menerima cacahan
tatu bunga terung seawal usia 16 tahun, menandakan mereka sudah ‘cukup umur’ dan
bersedia untuk melalui bejalai iaitu suatu pengembaraan di mana
mereka pergi melawat rumah panjang komuniti Iban yang lain. Sesuatu bejalai boleh
memakan masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya.
Tatu bunga terung dipercayai mampu
memberikan kekuatan kepada si pemakai ketika belajai. Setiap bantuan yang
dihulurkan dalam memudahkan hidup komuniti Iban sepanjang bejalai akan
dihadiahkan dengan satu ukiran tatu di badan. Mereka dianggap suci dan layak
diberikan tatu yang sempurna ukirannya. Lebih banyak pencapaian, lebih banyak
tatu di badan mereka.
Contoh tatu yang boleh didapati ialah tatu
berbentuk ketam, haiwan mistik seperti naga, dan katak di bahagian leher yang
dikatakan paling sukar dan menyakitkan.
Apabila mereka akhirnya pulang ke rumah
panjang mereka, semua tatu yang ada di badan diibaratkan seperti peta yang
telah merekodkan setiap hala tuju yang mereka lalui dan segala pencapaian yang
telah mereka kecapi.
Bermacam-macam jenis ukiran tatu yang boleh
dicacah di seluruh tubuh, kecuali tatu tegulun (hand tattoo) kerana
ia diterhadkan hanya untuk mereka yang telah mengambil nyawa seseorang.
No comments:
Post a Comment