Friday, 21 June 2024

LEBIH BAIK URUS SENDIRI IBADAT KORBAN

 
Banyak individu atau keluarga menyerahkan urusan ibadat korban kepada pengurusan masjid, pertubuhan bukan kerajaan dan kumpulan tertentu. Individu yang melakukan ibadat korban hanya membayar harga bahangian atau seekor haiwan berkenaan dan segala urusan lain diserahkan kepada pihak lain dengan akad atau apa-apa perkara yang dipersetujui mengenainya.
 
Cara itu memang mudah dan banyak kebaikan kerana agihan daging dapat dilakukan dengan lebih teratur apabila ia dilakukan secara berpusat.
 
Namun timbul pula masalah apabila individu atau keluarga yang melakukan ibadat korban tidak puas hati dengan pengurusan pihak yang diamanahkan. Hal ini tidak dapat dielakkan kerana ada pihak pengurusan yang perlu mengurusakan hingga berpuluh-puluh ekor lembu dan kambing, sedangkan tenaga yang melaksanakan tugas agak terhad. Bayangkan ada yang mengurusakan penyembelihan haiwan korban sehingga beratus-ratus ekor. Tentu sekali tugas itu lebih mencabar.
 
Kepada mereka yang ingin melaksanakan ibadat korban pada tahun hadapan atau tahun seterusnya, kalau ingin urusan korban dilakukan dengan seperti mana apa yang diingini, elok urus sendiri ibadat korban itu, bermula daripada pembelian lembu (elok jika binatang diternak sendiri), mendapatkan permit penyembelihan, penyembelihan, melapah, mengasingkan daging dan seterusnya diagihkan kepada yang layak.
 
Dengan cara itu tidak lagi timbul soal tidak puas hati dan sakit hati. Semua buat sendiri mengikut apa yang diingini. Pahala dan kebaikan yang diperoleh lebih banyak, insya-Allah.
 
Kalau sudah diserahkan kepada pihak lain, terimalah seadanya apa kekurangan yang mungkin berlaku di mana-mana. Jangan komen atau menyalahkan pihak lain. Pihak yang menguruskan telah berusaha melakukan yang terbaik.
 
Kalau banyak komen dan tidak puas hati, kena pula ditularkan di media sosial, takut nanti pahala korban entah ke mana, bahkan dosa pula yang dapat. 

No comments:

Post a Comment