Lelaki ke dapur satu fenomena yang sihat
kerana ia mewujudkan perkongsian dan tanggungjawab dalam membesarkan anak serta
mengurus rumah tangga.
Jika dahulu lelaki ke dapur dianggap tidak
‘macho’, tetapi sekarang ukuran tersebut telah berubah apabila semakin ramai
golongan lelaki termasuk yang berpendidikan tinggi berbuat demikian.
Fenomena lelaki ke dapur dilihat tidak lagi
menjadi satu yang pelik. Kemampuan lelaki memasak, terutama di kalangan chef
juga telah diakui mengatasi perempuan. Banyak chef terkenal di negara kita
adalah lelaki.
Tetapi, soal pandai memasak bukan isu dalam
menentukan siapa yang sepatutnya memasak untuk keluarga. Secara hakikinya,
tugas memasak dan menyediakan hidangan adalah tugas wanita, atau dalam konteks
suami isteri ia adalah tugas isteri.
Memang tidak dinafikan semakin ramai lelaki
turut berada di dapur menolong isteri memasak. Ini biasa berlaku dalam keluarga
moden yang mana suami dan isteri sama-sama berkerjaya. Itupun biasanya hanya
pada hari cuti yang mana suami isteri sama sama di dapur, sedangkan pada hari
lain mereka makan di luar.
Tidak salah jika suami turut membantu isteri
di dapur kerana ia secara tidak langsung mewujudkan perasaan kasih sayang yang
lebih erat.
Cara itu juga suami akan lebih faham tugas di
dapur dan tidak hanya mengharapkan isteri melakukan semuanya.
Tindakan suami membantu isteri di dapur
memang dihargai isteri, terutama jika suami isteri bekerja yang mana isteri
sudah tentu sibuk dan letih selepas balik bertugas.
Suami yang mengetahui tugas di dapur dapat
berdikari jika isteri tidak ada di rumah kerana menghadiri kursus, tugas luar
atau sakit yang mana tidak dapat melaksanakan tugas biasa di dapur.
Satu lagi situasi yang mungkin menyebabkan
suami turut berada di dapur ialah untuk membantu isteri yang sebenarnya kurang
mahir memasak.
Maka mereka sama-sama belajar dan melakukan
bersama. Ini berlaku di kalangan pasangan muda yang tinggal berasingan dengan
keluarga.
Bila sudah biasa melakukan bersama, maka
tidak sukar ia diteruskan dan menjadi satu budaya dalam masyarakat bandar hari
ini.
Bagaimana pun, jika berlaku suami melakukan
tugas di dapur sedangkan isteri bersenang-senang di ruang tamu, itu kira sudah
tidak patut. Ia satu keterbalikan dalam sistem rumah tangga. Keluarga itu pasti
tidak aman dan sering dilanda masalah.
No comments:
Post a Comment