Timbul kekeliruan bolehkah orang
Islam menyambut tahun baru Masihi sedangkan ia ada kaitan dengan agama lain. Ada
hadis yang melarang umat Islam turut merayakan sesuatu perayaan anutan agama
lain.
Tidak
dinafikan kalendar Masihi atau Gregorian mempunyai konotasi kepada agama
Kristian. Tarikh-tarikh dalam kalendar Masihi mempunyai kaitan dengan agama
Kristian. Sambutan tahun baru menandakan sambutan ulang tahun al-Masih. Manakala,
ringkasan AD yang diterima pakai bagi pengiraan takwim Gregorian ialah ringkasan
kepada "Anni Domini Nostri Jesu Christi" yang bermaksud "dalam
tahun Tuhan Kami Jesus Christ."
Sebab
itu, di kalangan penganut agama lain, khususnya penganut Islam dan Yahudi
menukarkan ringkasan AD kepada CE iaitu "Christian Era" manakala BC (Before
Christ) diganti dengan BCE (untuk Before Christian Era).
Namun
demikian, di kalangan orang Islam di Malaysia dan rantau Melayu umumnya,
ringkasan SM (Sebelum Masihi) dan TM (Tahun Masihi) lebih kerap digunakan.
Biarpun
sambutan tahun baru mempunyai konotasi keagamaan dengan Kristian, namun kepada penganut
agama lain tidak menganggapnya begitu. Ia sudah diterima dengan meluas sebagai
tarikh universal.
Tahun Masihi dikira menurut
peredaran matahari (tarikh as-Syamsi). Sedangkan kiraan tahun Hijrah pula
berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari). Kedua-dua kiraan itu amat
penting digunakan untuk membantu aktiviti kehidupan manusia.
Perkiraan tarikh as-Syamsi digunakan
untuk menentukan musim yang berulang setiap tahun. Dari kiraan tarikh inilah
manusia dapat merancang aktiviti kehidupan berdasarkan tarikh atau bulan yang
berlaku secara tepat atau anggaran. Manakala, tarikh al-Qamari pula digunakan menentukan
masa ibadat.
Kiraan bilangan hari setahun tarikh
as-Syamsi ialah 365 hari atau 366 hari (yang ada tarikh 29 Februari dikenali
tahun lompat yang berlaku setiap empat tahun sekali). Manakala bilangan hari
tarikh al-Qamari adalah 354 hari.
Keadaan ini menyebabkan hari
kebesaran Islam dirayakan pada musim berlainan atau tidak sama dengan tarikh
Masihi setiap tahun. Ia akan kembali ke musim asal setiap 33 tahun (satu
pusingan lengkap).
Sama ada kiraan tarikh as-Syamsi
maupun tarikh al-Qamari, kedua-duanya membuktikan tentang kekuasaan Allah SWT mencipta
semesta ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan
bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah)
pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui
bilangan tahun dan kiraan masa.” (Surah Yunus, ayat 5).
Sempena kedatangan tahun baru 2014
adalah wajar direnung atau berfikir mengenainya. Tempoh setahun 2013 telah berlalu. Fikirkan apakah kita lakukan sepanjang
tempoh itu. Adakah sesuatu yang lebih baik telah dilakukan atau dicapai pada
tahun 2013 berbanding tahun 2012?
Muhasabah diri merupakan amalan
insan bertakwa untuk memperbaiki diri. Muhasabah diri perlu dilakukan dengan
jujur. Sekiranya mendapati keburukan telah dilakukan, maka
segera bertaubat dan diperbaiki. Manakala jika telah melakukan kebaikan,
hendaklah ditingkatkan lagi pada masa akan datang.
Kepekaan terhadap di sebalik
peristiwa yang telah dianggap sejarah amat penting. Setiap peristiwa mempunyai
erti tersendiri yang boleh dijadikan iktibar, dan panduan untuk mendapat
kebaikan dalam hidup ini.
Imbasan peristiwa lalu boleh
dijadikan sebagai pemangkin mencorak dan mewarnai kehidupan ke arah lebih baik.
Ini amat penting untuk kita merancang apakah yang perlu dilakukan untuk masa
depan agar mencapai kejayaan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
Menjadi lebih penting lagi penilaian
itu untuk dijadikan sebagai membetulkan diri, mengelak daripada mengulangi
perkara buruk dan seterusnya mengaku kesalahan itu dengan bertaubat. Kita
sewajarnya menilai diri sendiri sebelum dinilai di muka pengadilan di akhirat.
Saidina Umar memberi peringatan agar
setiap Muslim menilai diri masing-masing. Kata Saidina Umar: “Adakah
perhitungan atas dirimu sendiri sebelum amalmu diperhitungkan kelak (di
akhirat).”
Muhasabah diri berdasarkan tempoh
masa memang digalakkan. Tidak kiralah tempoh masa itu berdasarkan tahun Hijrah
atau tahun Masihi. Apabila yang penting bertujuan memperbaiki diri dan keadaan
ke arah lebih baik berbanding sebelumnya.
Syaidina Umar mengungkapkan
kata-kata bermaksud: “Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk
dari hari semalam dan hari esoknya lebih buruk dari hari ini.”
Kata-kata itu jelas sekali mengajak
kita memikirkan apa telah dilakukan setiap hari. Setiap hari baru perlu kepada
lebih baik. Sesiapa gagal melakukan kebaikan bererti telah hilang sebahagian
nikmat kehidupan.
Manakala itu, Imam Hasan al-Bashri
pernah berkata: “Tidaklah sebuah hari itu berlalu kecuali setiap terbit
matahari ada seruan: Hai anak cucu Adam, aku adalah ciptaan yang baru, aku menjadi
saksi atas perbuatanmu, maka berbekallah dariku kerana sesungguhnya aku, jika
sudah berlalu, tidak akan kembali sampai datang hari kiamat nanti.”
Kita harus menerima hakikat bahawa
kita telah memasuki satu tempoh masa baru yang memerlukan semangat, iltizam dan
cita-cita untuk menghadapinya. Hanya orang yang tabah
dapat menghadapi setiap cabaran hidup dengan baik.
No comments:
Post a Comment