Thursday 27 August 2020

KEGUNAAN TIMUN TIKUS

Banyak jenis tumbuhan yang tidak dipeduli banyak tumbuh di sekeliling kita. Malah pokok tersebut dianggap sebagai mengganggu dan tiada apa-apa manfaat. Sedangkan pokok tersebut sama ada bunga, buah, daun, batang, akar dan sebagainya boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan.

Contohnya, pokok timun tikus. Pokok ini banyak tumbuh di sekitar tempat tinggal kita. Ia tumbuh dari biji benih yang tersebar melalui najis burung atau haiwan lain yang memakan buahnya.

Pokok timun tikus mudah tumbuh. Pokoknya menjalar. Suka memanjat pagar. Tumbuh sendiri dan mudah membesar, terutama pada musim hujan.

Buahnya comel. Sebesar ibu jari dengan panjang boleh mencapai lebih dua inci. Namun, tumbesaran lebih kecil pada masa kemarau. Buahnya berwarna hijau ketika muda dan bertukar merah apabila sudah masak. Boleh buat ulam ketika masih hijau.

Khasiatnya untuk penyakit kencing manis dan darah tinggi. Rasanya seperti buah timun. Dalamnya pun seperti buah timun. Tetapi ada rasa sedikit masam.

Daun juga boleh masak sayur pedas campur dengan cendawan busut atau pucuk miding.

Buahnya selain boleh dibuat ulam, boleh juga dimasak lemak cili padi bersama udang. Atau masak tempoyak. Boleh cicah sambal belacan atau dimasak sayur lemak kuning. Seperti masak sayur lemak timun biasa. Tentu sedap juga dimasak bersama ikan masin atau ikan bilis.

Sepatutnya sumber yang ada di sekitar kita dimanfaatkan sepenuhnya. Ia percuma, tetapi kaya khasiat. Jadi, mengapa tidak mencubanya. Petik sahaja jika ada di sekitar rumah anda. 

No comments:

Post a Comment