Thursday 17 September 2020

ISLAM CARA HIDUP SEMPURNA SEPANJANG MASA

Islam adalah satu-satunya manhaj (sistem) atau cara hidup yang selaras dengan kehendak fitrah manusia yang sejahtera. Islam dapat memperseimbangkan tuntutan lahiriyah dan rohaniyah manusia.

Firman Allah SWT: “Tidakkah yang mencipta itu lebih mengetahui. Dan Allah itu Maha Penyantun lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Mulk, ayat 14) 

Islam adalah manhaj Rabbani yang merupakan corak penghayatan yang kudus mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia. Islam mampu untuk kekal dan tamadunnya dapat memberikan saham untuk setiap zaman, tempat dan peringkat.  

Manhaj hidup Islam yang universal menyerlahkan ciri keinsanan, ciri infitah (terbuka dan kelapangan) dan berupaya untuk menanggung  sebarang kemungkinan. Ciri infitah ini melampaui pertimbangan kedaerahan, perkauman, kebangsaan dan sebagainya.

Ciri manhaj hidup Islam yang menyeluruh membezakannya dengan sebarang manhaj atau sistem hidup duniawi yang mempunyai dimensi matlamat terbatas. Manhaj hidup Islam adalah ciptaan Maha Mengetahui akan masalah manusia, apa yang baik untuk manusia dan apa yang buruk untuk manusia. Dia Maha Mengetahui apa yang membahagia dan apa yang mencelakakan hidup manusia.

Oleh itu Islam sahaja mampu memenuhi keperluan manusia baik individu mahupun kelompok, kepimpinan mahupun perundangan, urusan dalam negara mahupun urusan luar negara. 

Ketika para sahabat Rasulullah SAW berada dalam perlindungan kerajaan Habsyah dan menemui rajanya, Najasyi, paderi dan pendita yang ada di Istana Najasyi meminta mereka sujud untuk menghormati Raja Najasyi. Tetapi Jafar bin Abi Thalib yang menjadi ketua rombongan  itu menjawab: “Kami tidak sujud melainkan untuk Allah SWT.”

Berasa mulia dengan kebenaran Islam dan yakin kepada Allah SWT adalah antara sifat-sifat orang-orang beriman.

Allah SWT mengingatkan dalam al-Quran di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Janganlah kamu berasa hina (lemah) dan jangan kamu berasa duka cita dan kamu adalah lebih tinggi (mulia) jika kamu (benar-benar) beriman.” (Surah Ali Imran, ayat 139)

Apabila seseorang mengaku Muslim, dia harus bekerja untuk Islam. Kita patut bekerja secara berjamaah, bekerjasama dengan para pendakwah lain yang menyeru kepada Allah SWT, menyuruh melakukan kebaikan dan melarang melakukan kemungkaran. 

No comments:

Post a Comment