Syeikh Islam Ibn Taimiyyah dalam karyanya Iqtida al-Sirat al-Mustaqim dan muridnya al-Hafizd Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karyanya Ahkam Ahl al-Zimmah dengan tegas mengharamkan hal ini.
Mereka telah mengemukakan hujah dan alasan mereka dalam mengharamkannya. Teras kepada perbincangan mereka ialah perbuatan tersebut membawa erti menyerupai orang kafir dan meredai agama mereka.
Fokus mereka adalah penyertaan seorang Muslim kepada upacara perayaan bukan Muslim. Banyak pendapat-pendapat ulama silam yang mereka petik.
Pandangan kedua-dua imam agung itu diikuti oleh sesetengah para ulama terutama dari negara yang dominan penduduk Muslim seperti Arab Saudi. Maka Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi mengharamkan ucapan selamat sempena perayaan agama lain.
Beberapa perkara perlu diulas berkaitan hubungan orang Islam dan bukan Islam.
Islam mengharamkan seseorang Muslim membuat apa-apa perbuatan atau ucapan yang mengiktiraf kekufuran atau kesesatan. Termasuk dalam hal ini membesarkan agama lain dengan mengucapkan ucapan yang mengagungkan atau mengiktiraf kekufuran atau melakukan amalan ibadah yang mempunyai makna menyembah atau menyeru tuhan selain Allah.
Maka, apa sahaja tindakan yang membawa kepada maksud yang disebutkan tadi adalah haram jika dilakukan dengan perbuatan atau ucapan. Jika disertai iktikad bahawa apa yang dilakukan itu benar atau betul, maka dia menjadi kafir.
Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl, ayat 106 bermaksud: “Sesiapa yang kufur
kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang
dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman;
akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka
ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.”
Dalam masa yang sama, Islam tidak membenarkan kita menzalimi bukan Muslim dan Islam menyuruh kita melakukan kebaikan kepada bukan Muslim yang tidak memusuhi kita kerana agama kita.
Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahah, ayat 8-9 yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
Juga, Islam menyuruh kita mengucapkan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita.
Firman Allah SWT, surah al-Nisa, ayat 86 bermaksud: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”
Maka, ada di kalangan mengharuskan untuk orang Islam mengucapkan selamat kepada bukan Islam semasa sambutan perayaan mereka.
Perbuatan itu dikaitkan dengan adab Islami yang tinggi. Ia merangkumi sesama Muslim atau kepada bukan Muslim. Ibn Abbas RA menyebut:
“Jika
firaun berkata kepadaku ‘semoga Allah memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk
engkau juga.’” (Riwayat al-Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad).
Jika firaun yang jahat dan zalim layak untuk mendapat ucapan yang baik, tentu sekali ia juga diharuskan kepada orang bukan Islam yang lain.
Oleh kerana dalam masalah mengucapkan tahniah sempena perayaan agama lain mempunyai unsur seakan mengakui agama lain, sedangkan pada masa sama ada juga nilai berbuat baik kepada bukan Muslim yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama berkhilaf pendapat tentang hal ini.
Bagi mereka yang melihat unsur mengiktiraf kekufuran, mereka mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain. Sementara bagi mereka yang melihat ia bukan berunsur mengiktiraf kekufuran agama lain, sebaliknya sekadar melakukan kebaikan kepada penganut agama lain yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama yang berpendapat sebegini mengharuskan ucapan tersebut dengan syarat-syarat tertentu.
Tidak boleh dinafikan bahawa selain nas-nas al-Quran dan al-sunnah sebagai asas, faktor keadaan, zaman dan persekitaran mempengaruhi para sarjana Islam dalam melihat kepada isu ini.
Kitab-kitab yang ditulis pada persekitaran Muslim begitu dominan dan tiada keperluan untuk melakukan ucapan tersebut kelihatan keras dan mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain.
Sementara, ramai juga sarjana terutama di zaman kini yang mempunyai persekitaran yang baru dan keperluan untuk memperlihatkan keharmonian Islam kepada bukan Islam, fatwa-fatwa mereka ini lebih lunak dan mengizinkannya dengan syarat-syarat tertentu.
Majlis Fatwa Eropah (The European Council For Fatwa and Research) yang dianggotai oleh ramai sarjana Muslim membolehkan Muslim memberikan ucapan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka.
Fatwa yang sama yang mengharuskan ucapan sempena perayaan agama lain dikeluarkan oleh beberapa ulama lain seperti Dr Yusuf al-Qaradawi dan al-Mustafa al-Zarqa.
Antara hujah yang digunakan oleh al-Syeikh Mustafa al-Zarqa adalah hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi SAW satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: 'Itu jenazah seorang Yahudi." Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata al-Zarqa: “Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut.” (Fatwa Mustafa al-Zarqa, muka surat 356. Damsyik: Dar al-Qalam).
Ertinya, beliau membandingkan mengucapkan selamat sempena hari raya agama lain kepada penganutnya, bukan bererti mengiktiraf akidah mereka.
Namun, seorang Muslim tidak boleh turut merayakan hari raya agama lain. Cukuplah dengan ucapan seperti ‘selamat bergembira’ dan ucapan lain tidak menggambarkan kepercayaan agama lain yang boleh membawa syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah.
No comments:
Post a Comment