Sunday, 3 January 2021

CARA TANAM KULAT SISIR

Cendawan atau dalam dialek Kelantan dipanggil kulat terdapat banyak jenis. Salah satu kulat yang terkenal ialah kulat sisir atau juga dikenali kulat kukur.

Kulat sisir banyak tumbuh di Mexico, India dan Nigeria selain negara di Asia Tenggara. Namun di kebanyakan negara, ia tidak popular sebagai makanan seperti di Malaysia.

Kulat sisir (Schizophyllum commune) sejenis kulat yang tumbuh pada batang kayu semasa proses pereputan kerana mudah menyerap pemakanan. Kulat sisir banyak tumbuh selepas hujan. Pada musim kemarau memang amat sukar untuk mendapatkan kulat sisir.

Kulat sisir tumbuh menyerupai ombak batu karang yang rapat. Ingsangnya berbeza dari warna kuning berkrim hingga warna putih pucat. Bahagian atasnya kecil, lebar 1-4.5 cm dengan tekstur badan yang tebal namun lembut seperti span.

Di Malaysia cendawan kukur dari pokok kayu getah merupakan jenis yang paling popular di kutip untuk dijadikan bahan makanan yang sangat enak dan berkhasiat.

Namun sekarang ini sudah ada penanaman kulat sisir yang boleh dilakukan sepanjang masa, tanpa mengira musim hujan atau kemarau.

Medium penanaman kulat sisir dilakukan menggunakan bongkah yang berupa plastik atau bekas yang diisikan dengan habuk kayu. Ada juga pengusaha bongkah mencampurkan kandungan dengan makanan ayam sebagai nutrisi untuk tumbesaran kulat sisir.

Bongkah digantung di kawasan bawah bangsal atau tempat kurang cahaya matahari. Ia perlu disembur dengan air dua kali sehari di tempat ditoreh untuk mengekalkan kelembapan bongkah. Kulit sisir boleh dituai selepas tujuh hari torehan dibuat.

Berbanding bongkah cendawan tiram yang boleh diguna hingga empat atau lima kali pengeluaran, bongkah kulat sisir ini pula mampu membuat dua pusingan pengeluaran saja. Ini antara faktor mengapa harga kulat sisir lebih mahal berbanding kulat lain yang turut ditanam menggunakan kaedah bongkah.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan bongkah dari pengusaha yang kini terdapat hampir di seluruh negara. Terdapat juga pengusaha bongkah yang memasarkan melalui platform e-dagang atau dalam talian.

Kulat sisir bukan sahaja sedap dimakan sama ada digoreng atau digulai, tetapi juga mempunyai khasiat nutrisi dan perubatan yang tinggi.

Kulat sisir mengandungi schizophyllan iaitu sejenis ramuan di dalam ubat antibarah khususnya barah serviks. Ia bertindak meningkatkan sel imun bagi membunuh sel barah, virus atau kuman yang menyerang badan.

Ia juga mengandungi sebatian antioksidan yang kuat seperti selenium, asid protocatechuic, ergotheionene dan sebatian fenolik yang diperlukan bagi menyingkir toksik dalam badan selain kaya dengan protein, karbohidrat, magnesium dan vitamin D.

No comments:

Post a Comment