Monday, 21 December 2020

KUMBANG BELALAI PEROSAK UBI KELEDEK

Kumbang belalai (Cylas formicarius) merupakan serangga perosak utama tanaman ubi keledek bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia.

Walaupun wujud dalam populasi yang kecil, serangga ini menjadi ancaman terbesar kerana boleh merendahkan kualiti ubi keledek dan menyebabkan ubi berbau busuk, berasa pahit dan tidak sesuai untuk menghasilkan produk makanan.

Ubi keledek atau dalam dialek Kelantan dipanggil ubi stelo yang rosak dipanggil kelarah. Ubi keledek atau lebih terkenal di Indonesia sebagai ubi jalar adalah antara jenis tanaman utama dunia.

Umumnya, kumbang belalai menyerang tanaman dengan cara yang berbeza berdasarkan peringkat kitar hidup. Kumbang dewasa memakan bahagian daun dan permukaan ubi manakala larva pula mengorek dan memakan bahagian dalam ubi dan batang.

Racun serangga merupakan kaedah kawalan yang biasa digunakan oleh para petani. Namun penggunaan racun perosak sahaja tidak akan memberi impak yang signifikan terhadap kawalan kumbang belalai. Selain itu, alam sekitar juga turut terjejas dan boleh mengganggu serta memudaratkan organisma serta ekosistem yang berhampiran.

Menyedari kesan negatif dan kerugian akibat serangan kumbang belalai, sistem pengurusan perosak bersepadu haruslah dijadikan panduan dan amalan utama bagi petani dan pengusaha tanaman ubi keledek.

Kawalan serangan kumbang belalai boleh dijalankan secara berkesan melalui kaedah pengurusan perosak bersepadu (PPB) atau lebih dikenali sebagai “integrated pest management” (IPM). 

Kaedah PPB ini merupakan kawalan perosak yang menggabungkan dan mengintegrasikan kaedah kawalan biologi, kimia, kultur dan fizikal yang mengambil kira kesan terhadap petani, masyarakat dan ekosistem persekitaran.

Pelaksanaan PPB merupakan salah satu asas utama dalam konsep pertanian lestari bagi menjamin pengeluaran pertanian yang dapat menampung keperluan semasan di samping menambah baik sumber pengeluaran sedia ada pada masa hadapan.

Pengetahuan berkaitan biologi, kitar hidup dan kesan berkaitan kumbang belalai perlu ada bagi memastikan langkah kawalan yang akan dijalankan adalah tepat dan berkesan.

Secara umumnya, kumbang belalai mempunyai empat peringkat dalam kitaran hidup iaitu telur, larva, pupa dan dewasa. Faktor suhu memainkan peranan yang penting bagi menetapkan tempoh masa setiap peringkat pertumbuhan.

Semakin tinggi suhu persekitaran, semakin cepat masa yang diambil untuk setiap kitaran. Secara puratanya, pertumbuhan daripada telur ke dewasa mengambil masa selama 32 hari.

Kumbang betina yang telah mengawan akan bertelur di dalam rongga atau lubang yang telah dikorek kebiasaannya di bahagian akar, batang dan ubi pokok keledek yang terdedah. Biasanya kumbang ini bertelur pada rongga di bawah epidermis secara tunggal dan ditutupi dengan sisa tisu epidermis atau najis supaya telurnya tidak kelihatan.

Kumbang belalai pada peringkat dewasa akan kelihatan seperti semut yang besar. Jantina kumbang belalai dapat dibezakan melalui bentuk sesungut. Kumbang jantan mempunyai sesungut yang lurus manakala sesungut kumbang betina pula berbentuk bulat.

No comments:

Post a Comment