Saturday 25 September 2021

HADIS PALSU PERLEKEHKAN WANITA

 
Dalam dunia yang semakin menerima dan memperakui sumbangan wanita, masih ada pihak yang ironisnya terhadap kedudukan itu. Wanita masih diperlekehkan kedudukan dan hak.

Ini termasuk di kalangan umat Islam sendiri. Golongan antiwanita cuba sedaya upaya menggunakan fakta lemah dan hadis palsu sebagai dalil dakwaan mereka.

Antara hadis palsu yang tersebar luas membawa maksud: “Mintalah pendapat wanita dan lakukan sebaliknya.” 

Satu lagi hadis palsu bermaksud: “Wanita itu keseluruhannya jahat, dan kejahatan yang paling besar ialah kaum lelaki tidak dapat melakukan kejahatan tanpa mereka (wanita)”.

Kedua-dua hadis palsu itu membayangkan betapa wanita tidak bijak dan hanya mendatangkan keburukan. Bahkan, wanita dianggap tidak wajar diajar tentang apa-apapun.

Untuk menyokong alasan itu maka digunakan hadis palsu: “Jangan ajarkan wanita bagaimana membaca dan menulis kerana mereka akan menggunakan ilmu itu untuk melakukan sihir.”

Sesiapa yang terbuka fikirannya tentu dapat dengan mudah mematahkan hadis palsu itu.  Perhatikan pertentangan dengan hadis sahih yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap orang Islam, sama ada lelaki atau perempuan.”

Firman Allah bermaksud: “Bacalah atas nama Tuhanmu yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, Tuhanmu itu Maha Pemurah yang mengajarkan dengan pena pengetahuan yang manusia belum ketahui.” (Surah al-Alaq ayat 1 hingga 5).

Ayat itu menjelaskan suruhan membaca dan sekaligus menuntut ilmu. Suruhan itu tidak menyebut siapa perlu membaca. Ini bermakna untuk semua, tidak kira lelaki atau perempuan. Wanita juga dituntut membaca al-Quran sebagai salah satu ibadah dan mencari keredaan Allah.

Ternyata hadis melarang diajarkan membaca dan menulis kepada wanita adalah palsu. Jika wanita tidak tahu membaca, bagaimana mereka ingin membaca al-Quran.

Itu sebahagian contoh bagaimana golongan anti perempuan menjalankan niat buruk terhadap perempuan. Mereka sanggup mencipta hadis palsu semata-mata ingin menjatuhkan wanita.

Selain memerlukan tindakan ikhlas daripada lelaki, wanita sendiri mempunyai peranan untuk keluar daripada lingkungan tragedi hitam itu.

No comments:

Post a Comment