Friday 26 November 2021

PULAU SURI ASAL NAMA BIDAN KAMPUNG

Pulau Suri merupakan salah satu pulau di delta Sungai Kelantan. Terdapat 33 buah gugusan pulau di delta Sungai Kelantan di sebelah pentadbiran jajahan Tumpat. Manakala terdapat beberapa buah lagi pulau terletak di bawah pentadibran jajahan Kota Bharu.

Daripada 33 pulau tersebut, hanya 13 pulau berpenghuni. Antara pulau yang berpenghuni ialah Pulau Pantai Haji Nik Mat, Pulau Seratus, Pulau Beluru, Pantai Suri, Pulau Che Soh, Pulau Teluk Renjuna, Pulau Aur, Pulau Tongkang dan Pulau Pantai Baru. 

Mengenai Pulau Suri, ia diterokai oleh seorang bidan kampung yang dikenali sebagai Suri sekitar 50 tahun lalu.

Sehingga kini, Pulau Suri mempunyai sekitar 50 keluarga yang melakukan pelbagai aktiviti ekonomi antaranya ekopelancongan sehinggakan ia terkenal sebagai salah satu destinasi inap desa. 

Untuk ke Pulau Suri pengunjung boleh menggunakan bot di Jeti Kuala Besar jika dari sebelah Kota Bharu dan Jeti Kok Keli sekiranya dari jajahan Tumpat.

Pulau Suri dihubungkan dengan jambatan ke Pulau Haji Nik Mat. Dengan itu, selain ke Pulau Haji Nik Mat, penduduk boleh menggunakan motosikal untuk ke beberapa pulau lain yang turut dihubungkan dengan jambatan seperti ke Pulau Seratus, Pulau Beluru dan Pulau Teluk Renjuna.

Pasar Terapung Pantai Suri adalah salah satu daripada gugusan Pulau Suri yang menawarkan aktiviti perdagangan kepada pengunjung di atas bot.

Pasar Terapung Pantai Suri dimulakan pada September 2016 berjaya menarik ramai pelancong datang ke pulau tersebut. 



No comments:

Post a Comment