Wednesday 10 November 2021

JAGA AIB ORANG LAIN

Jika timbul perasaan tidak baik kepada orang lain, simpanlah dalam hati. Tak perlu kita bercerita kepada orang lain. Kita juga ada kekurangan kita, jangan asyik perhati salah orang.

Kalau boleh tegur orang itu secara peribadi, tegurlah. Kalau tidak perlu, diam sendiri. Entah-entah orang lain pun ada rasa kurang senang dengan kita, tapi mereka tak beritahu kepada satu dunia pun tentang kita.

Jaga aib dan hati orang lain, insya-Allah aib dan hati kita juga Allah jaga.

Perkataan aib adalah merujuk kepada rasa malu oleh seseorang atau orang yang rapat dengannya kerana ada sesuatu keadaan yang tidak elok padanya didedahkan atau diketahui umum.

Rasa malu ini boleh membawa kepada kesan yang sangat negatif kepada seseorang yang diaibkan.

Dalam agama Islam, dikehendaki supaya segala kesalahan dan keburukan yang dilakukan oleh orang Islam disembunyikan dan tidak boleh diheboh-hebohkan.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Siapa yang melepaskan dari seorang mukmin satu kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat.

“Siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan, nescaya Allah akan memudahkannya di dunia dan nanti di akhirat. Siapa yang menutup aib seorang muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Dan Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya.” (Hadis riwayat Muslim)

Menghormati saudara muslim ialah menjaga maruah dan air mukanya. Kalau nak tegur, biarlah ia melalui teguran dan nasihat yang membina dan sopan. Ini akan dapat melahirkan suasana hidup bermasyarakat dan mencetuskan keharmonian dan kesejahteraan.

Suasana masyarakat Islam sekarang sangat jauh dengan ajaran Islam yang sebenar di mana sering berlaku tindakan yang tidak menghormati antara satu sama lain.

Bagi orang yang beriman dan bijaksana dalam menilai ajaran Islam, ia hanya akan memandang aib yang ada pada dalam dirinya dan sentiasa bertaubat serta membetulkan kesilapan-kesilapannya. Dia juga akan menutup keaiban orang lain. Justeru, ia akan dapat jaminan tidak diaibkan dari Allah seperti yang tercatat dalam hadith di atas.

Keaiban sesama Islam apabila didedahkan, maka bukan sahaja hilang kehormatannya, malah mungkin orang bukan Islam tidak lagi menghormati masyarakat Islam.

Ibnu Rajab di dalam kitabnya Jami’ al-Usul Wa al-Hikam ada menukilkan kata-kata Imam Syafie yang maksudnya:

“Barangsiapa yang menasihati saudaranya dengan menjaga kerahsiaannya bererti dia telah menasihatinya. Sesiapa yang menasihati tanpa menjaga kerahsiaannya, bererti dia telah membuka aibnya dan mengkhianatinya."

No comments:

Post a Comment