Kejayaan datang dengan adanya tindakan,
tapi tindakan tidak akan datang kalau kita tak menghargai masa. Kalau kita masih lagi suka bertangguh, suka
beri alasan *“nanti - nantilah” atau “tak tahulah nak buat macam mana”*.
Percayalah, sikap ini akan membuatkan tindakan awal kita untuk berjaya tu
terhalang.
Jadi, maksimakan masa dengan perkara yang
bermanfaat agar you boleh capai impian dan matlamat yang diinginkan.
Antara panduan daripada Allah SWT bagi kita
terapkan dalam kehidupan kita ialah menjaga masa. Sesungguhnya masa adalah
sesuatu anugerah Allah SWT yang berterusan untuk semua makhluk-Nya, tidak kira
jenis, bangsa dan agama.
Semua makhluk dianugerahkan dengan nikmat
masa. Apabila seorang hamba memanfaatkan masanya, Allah SWT menjanjikan
ganjaran buatnya dan begitu juga sebaliknya.
Firman Allah SWT dalam sebuah hadis qudsi
yang bermaksud: "Wahai anak Adam! Lapangkanlah untuk beribadah kepada-Ku,
nescaya Aku penuhi hatimu dengan rasa cukup dan Aku penuhi kekuranganmu. Dan
jika kamu tidak lakukan, nescaya Aku penuhi tanganmu dengan kesibukan dan tidak
Aku penuhi kekuranganmu." (Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Ibn Majah dan Imam
Ahmad)
Hadis ini memberi pengajaran kepada kita
akan janji Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang memanfaatkan masanya.
Memang penting baginya memanfaatkan nikmat
masa itu bagi semua amalan yang diredai-Nya.
Namun, sekiranya kita mensesiakan anugerah
masa ini, kita akan disibukkan dengan urusan kita, sehinggakan kita tidak akan
pernah berasa cukup dengan masa yang ada.
Alangkah ruginya! Alangkah malangnya! Apabila
seseorang itu berdiri di hadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak, tiada
bersamanya sebarang bekalan melainkan pahala yang sedikit dan dosa yang menggunung.
Persoalannya sekarang adalah bagaimana kita
dapat mengelakkan perkara sedemikian berlaku? Bagaimana kita dapat memanfaatkan
masa kita yang terhad di dunia ini agar kita beruntung pada masa akhirat nanti?
Jawapannya sudah tentu kita perlu memanfaatkan
masa kita di dunia dengan sebaik mungkin. Seperti firman Allah SWT dalam Surah
Al-'Asr, ayat 1-3, yang bermaksud: "Demi masa! Sesungguhnya manusia itu
dalam kerugian. Melainkan orang yang beriman dan beramal soleh, serta
berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran."
Surah yang sangat ringkas, tetapi sangat
padat dengan panduan dan sangat luas dengan makna. Hargai masa, hidup lebih beruntung.
No comments:
Post a Comment