Kercut adalah sejenis tumbuhan (rumput)
yang daunnya dibuat tikar dan lain-lain. Kercut juga dipanggil mansiang agam, mansiro
hitam, kambuih, rumput kerecut dan rumput kumbar.
Kercut atau nama saintifik Scirpus
mucronatus telah melatari budaya Melayu apabila ia menjadi sebahagian sumber
semula jadi yang digunakan dalam kehidupan seharian.
Tikar kercut adalah tikar yang diperbuat
daripada kercut. Tikar kercut tidak sama dengan tikar mengkuang.
Tikar kercut
menjadi pilihan kerana ia lebih lembut dan cantik apabila dianyam dengan kemas
dan kreatif membentuk corak yang kaya seni budaya.
Perusahaan yang berteraskan anyaman ini pernah
menjadi sumber pendapatan kepada mereka yang bijak menghasil kraf tangan yang
tinggi kreativiti dan semangat tekun yang tinggi.
Untuk pengetahuan umum, rumput kercut
berbentuk bulat dan panjang. Jika dilihat sekilas lalu, pokok ini kelihatan
seperti penyedut minuman. Kebiasaanya, rumput kercut tumbuh merumpun di kawasan
tanah terbiar dan kawasan paya cetek.
Justeru itu, rumput kercut yang
dikategorikan sebagai salah-satu tumbuhan yang mudah didapati berupaya menjadi
salah-satu bahan asas dalam penghasilan kraf tangan.
Proses membuat tikar kercut atau apa-apa
jenis anyaman bermula dengan pengumpulan pokok kercut yang dipotong dari tempat
asal. Pokok tersebut kemudian akan ditumbuk sehingga menjadi leper.
Kemudian, rumput kercut tersebut perlu
dicuci dengan air selut. Setelah selesai dicuci dan dijemur hingga kering. Kemudian
ia dicampurkan dengan bahan kimia supaya
tahan lama dan kemudian dicelupkan warna yang diingini.
Selepas dikeringkan, kercut itu sudah boleh
dianyam mengikut apa diingini seperti tikar, penghias dinding dan sebagainya.
Di Kampung Kubang Keladi, Jelawat, Bachok
masih ada empat keluarga yang menjadikan kerja mengayam tikar kercut sebagai
sumber pendapatan.
No comments:
Post a Comment