Adakah konsert diharamkan secara total di
Kelantan? Kita lihat catatan di media sosial mengenai isu ini.
- Sejak awal pemerintahan PAS di Kelantan, memang tidak dibenarkan persembahan terbuka penghibur wanita, penganjuran konsert hiburan juga tidak dibenarkan. Dengan kata lain, konsert di bandar-bandar besar tiada di Kelantan.
- Konsert hiburan tidak dibenarkan mungkin kerana ia mewujudkan gejala sosial, wujud percampuran lelaki dan wanita, penghibur tidak menutup aurat dan sebagainya.
- Namun begitu, Kerajaan Kelantan mewujudkan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 yang menetapkan peraturan khas untuk penganjuran konsert hiburan di Kelantan.
- Di antara peraturan itu ialah tiada penghibur wanita, menutup aurat bagi Muslim, pakaian sopan bagi non Muslim, lagu yang baik dan tidak melalaikan, penonton diasingkan mengikut 3 kategori iaitu berkeluarga, lelaki dan wanita dan sebagainya.
- Sebelum ini konsert hiburan di Kelantan ialah kumpulan Raihan di Stadium Sultan Muhammad ke-iV dan kumpulan Nada Murni (zaman Al-Arqam). Kedua-dua ini adalah kumpulan nasyid.
- Pada Tahun 2005, fenomena Mawi melanda negara, Kerajaan Kelantan dan Maestro menganjurkan Konsert Amal Tautan Kasih. Datuk M. Nasir turut membuat persembahan dengan Mawi.
- Sejak tahun 2003, Konsert Sure Heboh anjuran Media Prima amat popular dan diadakan di seluruh negeri. Ia bagaikan konsert percuma untuk masyarakat sambil mempromosi jenama TV3.
- Namun begitu, Konsert Sure heboh pernah ditegur oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria kerana dilihat sebagai program hiburan yang melampau dan mengundang pelbagai kesan maksiat.
- Sejak itu, Konsert Sure Heboh ditukar kepada Karnival Jom Heboh. TV3 telah membuat penyesuaian dengan mengurangkan unsur hiburan dan mengutamakan orientasi hiburan berkonsepkan kekeluargaan dan perniagaan serta mempromosi mesej kerajaan.
- Karnival Jom Heboh diadakan di Kelantan pada tahun 2009 dan 2011.
Pada masa ini, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih lagi menjadi Menteri Besar Kelantan. Jadi tidak tepat mengatakan tiada konsert pada zaman Nik Abdul Aziz Nik Mat.
- Konsert Riuh Sokmo selama 3 hari di Kelantan itu dikatakan menepati Enakmen Hiburan 1998. Cuma kelihatan hadirin bersesak-sesak dan macam luar kawalan. Mungkin sebab itu ia menjadi tular dan Ketua Pemuda PAS Kelantan membuat kenyataan media.
- Kesimpulannya, Kerajaan Kelantan tidak mengharamkan konsert secara total tetapi membenarkannya selagi ia mematuhi Enakmen Hiburan 1998.
- Moga pihak penganjur atau berwajib melakukan kawalan lebih ketat agar hadirin lebih bersopan dan terkawal dan pemilihan lagu yang sesuai.
Kredit kepada penulis asal.
No comments:
Post a Comment