Wednesday, 5 October 2022

PERLU BERLAKU ADIL DALAM SEMUA PERKARA

 
Islam tegas mewajibkan berlaku adil kepada semua manusia. Hal ini dijelaskan oleh firman-Nya: “Sesungguhnya, Allah memerintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada kalangan yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya, Allah itu Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (Surah al-Nisa, ayat 58)

Hukuman dalam Islam bukan dengan dendam kesumat, sehinggakan bertindak melampaui batas. Sekiranya melampaui batas, maka seseorang itu berdosa dan akan dihukum oleh Allah SWT pada hari kiamat.

Jika ada individu dijatuhi hukuman melalui sistem perundangan negara, itu ketentuan yang perlu diterima dengan hati terbuka. Di sisi Allah, jika dibenar-benar bersalah (berdosa), maka jika individu berkenaan bertaubat dan menyesali perbuatan itu, maka Allah Maha Pengampun akan menghapuskan dosa itu.

Sebab itu, jangan kita menghina individu dijatuhi hukuman di dunia ini. Itu bahagian dia di dunia ini. Di akhirat nanti mungkin dia lebih bernasib baik berbanding kita.

Islam yang bertamadun telah ditunjukkan oleh al-Quran dan teladan Rasulullah SAW yang diwahyukan supaya berpolitik secara matang. Pada masa yang sama, diperintahkan agar berlaku adil dan rahmat, walaupun kepada mereka yang zalim terhadapnya apabila menjatuhkan hukuman jika dibuktikan bersalah atau memaafkan sekiranya mempunyai alasannya.

Hal ini disebutkan oleh firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi, jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126); Dan bersabarlah (wahai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap tipu daya mereka. (127); Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan. (128)” (Surah al-Nahl, ayat 126-128)

Dan juga firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan” (Surah al-Maidah, ayat 8)

Rasulullah SAW juga menyuruh supaya bersifat ihsan (baik) apabila menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang bersalah.

Perkara ini dinyatakan oleh sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah telah mewajibkan agar berlaku baik dalam sesuatu tindakan. Apabila ingin menjatuhkan hukuman bunuh, maka lakukanlah dengan cara yang baik, dan apabila ingin menyembelih (binatang), maka lakukanlah dengan cara yang baik, hendaklah kalian menajamkan pisaunya dan merehatkan binatang sembelihannya.” (Hadis riwayat Muslim 1955, al-Tirmizi 1409, Abu Dawud 2815)

No comments:

Post a Comment