Monday, 26 December 2022

SELIDIK BERITA DITERIMA, ELAK PERKARA BURUK

 
Aspek komunikasi dan penyebaran maklumat bukan saja dilihat berlaku secara lisan, malah boleh disebarkan dengan cepat dan pantas melalui media sosial. 
 
Penciptaan alat komunikasi secara maya ini mempunyai banyak faedah jika digunakan dengan betul dan baik. Namun, ia menuntut suatu disiplin, tatacara dan tanggungjawab pengguna supaya kemajuan tidak disalah guna untuk menyebar perkara tidak benar atau palsu.
 
Tidak dinafikan peralatan canggih itu hari ini turut disalah guna bagi menyebar pelbagai maklumat palsu, sesat dan fitnah secara bebas tanpa ada rasa tanggungjawab. Tambahan pula, sukar sekali untuk mengesan pihak melakukannya.
 
Dilihat kesannya terhadap masyarakat, sama ada melalui perhubungan secara lisan atau saluran teknologi maklumat (IT), kedua-duanya sama tahapnya. Jika secara lisan maklumat boleh dimanipulasi dan dikelirukan, begitulah juga melalui IT.
 
Untuk menilai kesahihan berita yang disebarkan, al-Quran sudah meletakkan garis panduan.
 
Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menampakkan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." (Surah al-Hujurat, ayat 6)
 
Allah SWT sudah memberi peringatan dan mengajar semua umat Islam supaya meneliti dan menyelidik terlebih dulu berita yang disampaikan oleh orang fasik kepada mereka. Tidak kira sama ada berita itu disampaikan secara lisan atau melalui internet.
 
Seseorang mukmin dilarang tergesa-gesa mempercayai sesuatu berita disebarkan atau jangan terlalu cepat pula menafikannya sebelum membuat penelitian serta penyelidikan terhadap kebenaran berita itu. Ini semata-mata untuk mengelak daripada melakukan kesalahan di atas kesamaran.

No comments:

Post a Comment