Monday, 2 January 2023

EMPURAU IKAN AIR TAWAR PALING MAHAL

 
Empurau adalah sejenis ikan air tawar atau ikan sungai paling malah di Malaysia. Harga empurau lebih mahal berbanding ikan patin dan jenis ikan sungai lain yang hidup secara semula jadi di habitat asal.
 
Ikan empurau ditemui di Sarawak. Harganya yang ditawarkan di pasaran untuk spesies ini adalah sekitar RM800 dan boleh mencecah RM1,500 sekilogram.
 
Ikan empurau merupakan spesies ikan yang hanya boleh ditemui di beberapa kawasan utama di Kapit dan Hulu Rajang seperti di kawasan sungai sekitar Sungai Rajang dan beberapa sungai di Baleh dan Baram.
 
Ikan empurau hanya boleh ditangkap mengikut musim, kalau musim hujan dan ketika air pasang memang mustahil untuk mendapatkannya. Musim terbaik ialah sewaktu musim kemarau sewaktu air sungai agak cetek namun hanya di kawasan tertentu, bukan semua kawasan.
 
Paling penting, ikan ini hanya makan buah engkabang dan buah-buahan yang ada di kawasan sungai yang dihuni.
 
Malah terdapat perbezaan dari aspek fizikal ikan empurau dari kawasan berbeza. Ikan empurau berwarna putih kemerahan dianggap lebih baik dan bernilai tinggi berbanding berwarna hitam. Ikan empurau hitam kulitnya lebih keras dan kurang sedap.
 
Bagaimanapun, permintaan terhadap kedua-dua jenis ini tetap tinggi baik daripada pelanggan sekitar Sarawak mahupun di Semenanjung Malaysia.
 
Ikan ini juga boleh mencapai berat maksimum sehingga 20 hingga 40 kilogram dan pasti harganya akan menjadi lebih mahal.
 
Ikan empurau sukar diperoleh kerana kadar tumbesarannya agak lambat berbanding jenis ikan lain. Untuk mencapai berat sekitar 1.5 hingga 2 kilogram memerlukan tempoh masa tiga tahun.
 
Ikan empurau akan berenang ke hulu sungai untuk bertelur pada musim bertelur dan akan kembali ke lubuk asal selepas bertelur.
 
Untuk memenuhi permintaan ikan empurau, terutama untuk pasaran eksport, usaha menternak di dalam kolam telah dilakukan oleh pengusaha sejak tahun 2007.
 
Namun, usaha penternakan tersebut bukan mudah seperti jenis-jenis ikan air tawar lain, terutama dalam penyediaan makanan yang sesuai, selain penjagaan kolam yang perlu bersih serta seakan-akan habitat semula jadi.
 
Antara petua lain untuk mengekalkan keenakannya ialah dengan tidak ‘membuang’ sisiknya sebelum dimasak.
 
Jika sisik tidak dibuang, lebih sedap dan manis berbanding dengan ikan yang sudah dikikis sisiknya.
 
Malah jika digoreng rangup, sisiknya boleh dimakan dan rasanya sangat berbeza dengan sisik ikan lain.
 
Ikan empurau dari Sarawak bukan sahaja mendapat permintaan tempatan, bahkan ada juga penggemar ikan ini dari beberapa negara Asia lain. Ikan empurau dari Sarawak mendapat permintaan tinggi dari beberapa negara seperti Singapura, Taiwan, Hong Kong dan China.

No comments:

Post a Comment