Monday, 16 October 2023

PERKAHWINAN PENUHI KEPERLUAN NALURI MANUSIA

 
Dalam institusi perkahwinan, hubungan lelaki dan perempuan bukan sekadar memenuhi keperluan seks semata-mata, tetapi berkongsi segalanya. Kesetiaan, pengorbanan, saling menghormati, saling memerlukan, kasih sayang, keyakinan dan kepercayaan dalam hubungan suami isteri membentuk satu institusi kekeluargaan yang kukuh.
 
Keadaan ini tidak wujud bagi mereka melakukan zina. Biarpun ramai pasangan tinggal bersama tanpa nikah dilihat bahagia, hakikatnya tidak sama seperti pasangan suami isteri. Belum ada pasangan tanpa nikah hidup bersama dalam tempoh lama. 
 
Selepas tidak serasi atau  rasa bosan, mereka berpisah dengan mudah. Inilah dikehendaki oleh pasangan di Barat yang telah rosak nilai kemanusiaan. Kononnya, perpisahan pasangan yang tinggal serumah tetapi tiada ikatan perkahwinan tidak melibatkan sebarang proses undang-undang dan tidak perlu penyelesaian mengenai harta.   
 
Satu lagi yang unik mengenai matlamat perkahwinan yang disyariatkan dalam Islam ialah ingin kelahiran anak-anak menyeri kehidupan berkeluarga. Malah Islam menggalakkan perkahwinan bertujuan melahirkan zuriat. 
 
Umat Islam bertambah dengan lahirnya ramai zuriat daripada pasangan suami isteri Islam. Rasulullah menjelaskan tentang perasaan baginda berbangga dengan jumlah umat yang ramai di akhirat nanti.
 
Walaupun zina juga melahirkan zuriat, tetapi bukan matlamatnya. Malah, penzina akan  sedaya upaya mengelak daripada perkara itu, lebih-lebih lagi perempuan. Mengandung dan melahirkan anak zina menyebabkan banyak keburukan dan kesusahan terpaksa ditanggung oleh  perempuan yang berzina. 
 
Mengandung bermakna mendedahkan perbuatan sumbang dan hina yang telah dilakukan. Dalam masyarakat kita, perempuan mengandung tanpa suami merupakan aib besar, termasuk kepada seluruh keluarga.     
 
Sebab itu perempuan berzina akan berusaha agar tidak mengandung akibat perbuatan itu. Namun tidak semua usaha menutup perbuatan jahat dan dosa berhasil. Mungkin kejadian itu berlaku akibat kecuaian atau ‘balasan’ daripada Allah yang menggagalkan usaha mencegah kehamilan. Banyak perempuan mengandungkan bayi hasil perbuatan zina biarpun telah melakukan usaha pencegahan.
 
Pun begitu, mereka yang telah terjebak dengan dosa akan berusaha menutup aib itu biarpun terpaksa melakukan dosa lagi. Tindakan seterusnya dilakukan ialah pengguguran janim. Perbuatan itu tetap dilakukan biarpun janim sudah besar dan bersifat lembaga manusia. 
 
Perbuatan itu bukan sekadar dosa, tetapi mempertaruhkan nyawa sendiri. Mereka baru sedar betapa pentingnya maruah diri yang tidak dihargai ketika nafsu sedang memuncak. Hal ini tidak terjadi jika tidak mendekati zina dan seterusnya membawa kepada penzinaan. 
 
Benteng keimanan perlu diperkukuhkan untuk berdepan dengan cabaran-cabaran persekitaran yang cenderung menghampiri zina.
 
Perbuatan menggugur janim sama seperti membunuh anak. Masyarakat Arab Jahilliah  membunuh anak perempuan kerana sebab tertentu. Sebaliknya penzina membunuh anak yang belum pasti lelaki dan perempuan. Mereka lebih jahil daripada orang Arab Jahilliah. 
 
Jika usaha pengguguran tidak berjaya atau tidak sanggup menggugurkan, maka lahirlah anak zina. Untuk menutup malu dan tidak mahu menghadapi pelbagai masalah berkaitan kelahiran anak, maka dilakukan jalan mudah dengan membuang bayi.
 
Bayi tidak berdosa dibuang sama ada ketika masih hidup dan kemudian meninggal dunia disebabkan tidak mendapat rawatan sewajarnya, atau sengaja dibunuh dan dibuang seperti bangkai binatang. Manusia yang telah hilang maruah diri terdesak melakukan perbuatan yang lebih kejam daripada binatang buas yang tahu sayangkan anaknya. 
 
Islam memandang berat usaha mencegah berlakunya zina. Untuk mengelak zina, dinasihakan kepada mereka yang cenderung melakukan hubungan seks dan mampu berkahin, maka segera berkahwin. 
 
Sabda Rasulullah bermaksud: “Wahai pemuda-pemuda, barangsiapa antara kamu telah mampu berkahwin, maka kahwinlah, kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga kehormatan. Dan barangsiapa belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu mengurangi nafsu syahwat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

No comments:

Post a Comment