Masyarakat kita yang sebelum ini kaya
dengan adat Timur, kini semakin terhakis dan mula menerima pengaruh hidup cara
Barat. Ideologi Barat mengatakan hal berkaitan seks perlu ditentukan sendiri
oleh individu tanpa sekatan dan kongkongan adat atau agama tidak boleh
diterima.
Berdasarkan ideologi tersebut seseorang
bebas melakukan hubungan seks dengan sesiapa disukai. Justeru, perempuan
bebas dipelawa mana-mana lelaki untuk melakukan hubungan seks, dan perempuan
bebas sama menerima atau menolaknya. Jika wujud paksaan, maka baru dianggap
menyalahi undang-undang atau dipanggil rogol.
Apa yang berlaku adalah kejutan budaya yang
melanda masyarakat kita, terutama anak muda. Kurangnya didikan agama dan
perhatian ibu bapa menyebabkan budaya negatif menular dalam masyarakat. Lebih
menyedihkan golongan dewasa juga turut melakukan perbuatan sama.
Mereka yang melakukan seks bebas mendakwa
hubungan seks hak mutlak seseorang seperti hak asasi berkaitan perkara lain.
Maka kebebasan itu tidak boleh dihalang oleh sesiapa. Ibu bapa tidak berhak
menghalang apa yang hendak dilakukan oleh anak gadisnya berkaitan seks.
Amalan itu difikirkan dapat mengatasi
masalah sekatan seks yang didakwa punca berlaku rogol. Malah mereka mendakwa
amalan itu dapat mewujudkan hubungan lebih matang antara lelaki dan perempuan,
tanpa dibebankan dengan ikatan perkahwinan yang banyak kerenah dan
prasyarat.
Namun, hakikatnya masalah itu tidak dapat
diselesaikan. Di Barat kes rogol dan penderaan seks tetap berleluasa. Perempuan
tetap menjadi mangsa akibat kerelaan sendiri.
Jalan terbaik menyelesaikan apa-apa
berkaitan seks ialah melalui cara ditetapkan syariat iaitu perkahwinan.
Institusi perkahwinan bukan sahaja membolehkan lelaki dan perempuan menjalani
hubungan seks secara halal, tetapi banyak rahsia kebaikan di sebaliknya.
Institusi perkahwinan membentuk hubungan
yang bersifat lebih kukuh, ikhlas dan mewujudkan perasaan saling memerlukan
antara lelaki dan perempuan. Melalui ikatan perkahwinan, semua pasangan
menyimpan harapan agar dapat hidup bahagia sehingga ke akhir hayat.
Hubungan zina pula semata-mata bertujuan
kepuasan nafsu. Lelaki dan perempuan berkenaan hanya saling memerlukan untuk
memuaskan nafsu. Hubungan akan putus apabila mereka saling tidak memerlukan
dalam hubungan seks.
No comments:
Post a Comment