Tuesday, 24 October 2023

SOMBONG PUNCA TIDAK MASUK SYURGA

 
Antara sifat buruk yang perlu dijauhkan ialah sombong. Banyak keburukan ditanggung oleh seseorang akibat sikap sombong yang diamalkan. Mungkin bagi orang sombong berasa perbuatan itu memberi keuntungan dan kebaikan pada dirinya. Dia berasa betapa apa yang dimiliki dapat menjadikan dirinya dipandang hebat dan mendapat apa yang diingini.

Rasulullah SAW mengingatkan agar umat baginda terhindar daripada penyakit yang boleh mematikan iman itu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya sifat sombong sekalipun hanya seberat debu." (Hadis riwayat Muslim)

Jelas sekali betapa buruk sikap sombong biarpun hanya wujud sedikit di dalam diri. Jika sedikit sombong telah ditegah, apatah lagi jika diri seseorang dikuasai oleh sikap sombong.

Perbuatan atau sikap sombong sebenarnya wujud apabila dia berasa 'kuasa' mengatasi orang lain. Dia akan menolak dan menafi hak orang lain.

Orang sambong menganggap apa yang diingini orang lain tidak perlu dilayan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sombong itu adalah menolak yang hak dan menghina orang lain." (Hadis riwayat Muslim).

Antara punca wujud sifat sombong ialah kelebihan berkaitan zahir seperti paras rupa, nasab keturunan, ilmu, harta, pangkat dan kedudukan. Ada juga yang menjadi sombong disebabkan merasakan dirinya telah mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah kerana kehebatan amalannya.   

Ingatlah, itu semua tidak kekal. Apa yang dimiliki itu adalah satu ujian sama ada kita bersyukur atau sebaliknya. Segala kelebihan sepatutnya menjadikan lebih beriman dan bertakwa kepada Allah SWT dan selalu bersyukur.

Sikap sombong boleh membinsakan diri. Itulah yang terjadi kepada Firaun. Disebabkan dikuasai sikap sombong dan angkuh sehingga Firaun menganggap dirinya sebagai Tuhan disebabkan berasa dirinya berkuasa sepenuhnya terhadap rakyat jelata.

Dengan kekuasaannya, Firaun mendapat apa sahaja yang dikehendakinya. Dia boleh menentukan sama ada seseorang itu dibunuh atau sebaliknya. Kekuasannya tiada siapa yang berani tentang.

Semakin tinggi kedudukan seseorang seharusnya menyebabkan diri merasa bertambah tawaduk. Kedudukan, kekayaan dan kelebihan yang dimiliki adalah satu amanah yang perlu digunakan sebaik-baiknya. 

Kebencian Allah kepada si penyobong ini terakam di dalam sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Orang yang zalim dan sombong akan dihimpun pada hari kiamat dalam rupa semut. Manusia menginjak-injak mereka kerana kehinaan diri mereka di hadapan Allah." (Hadis riwayat Tirmizi)

No comments:

Post a Comment