Sesiapa yang melakukan kebaikan
kerana Allah SWT dan Rasul-Nya, maka perbuatan tersebut diiktiraf sepertimana
yang diniatkan.
Sabda Rasulullah
bermaksud: "Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan
Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya." (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim)
Perkara inilah yang perlu menjadi
ingatan setiap Muslim tatkala melakukan ibadah. Buatlah kebaikan hanya kepada
Allah dan bukan untuk makhluk-Nya.
Tidak ada seorang pun yang
terselamat daripada sebarang bentuk dosa. Maka perbuatan meninggalkan perkara
buruk dan memperbanyakkan amalan baik adalah satu usaha hijrah yang praktikal
dalam diri.
Sabda Rasulullah bermaksud: "Seorang
Muslim ialah orang yang kaum Muslimin lainnya selamat daripada gangguan lisan
dan tangannya. Dan seorang Muhajir (orang berhijrah) adalah orang yang
meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah." (Hadis riwayat Bukhari
dan Muslim)
Orang Islam perlu berusaha
melakukan jihad dalam diri sendiri agar tidak tergelincir melakukan perbuatan
dosa. Hal ini termasuk urusan jihad dan ia tidak akan dapat dicapai sekiranya
tidak ada niat yang baik.
Peringatan ini dijelaskan oleh
Rasulullah SAW menerusi sabdanya bermaksud: "Tidak ada hijrah
setelah pembukaan kota Mekah, akan tetapi (yang terus ada ialah) jihad dan
niat." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslaim)

No comments:
Post a Comment