Wednesday 25 July 2018

Menghadapi cabaran tahun baharu

Lazimnya tahun baru disambut berbeza dari segi membina semangat baru, azam baru, diari baru, tempoh tahun baru dan sebagainya. Sebab itu sambutan tahun baru amat bermakna bagi semua orang. Kita perlu memahami dan sedar perubahan bakal kita tempuhi disebabkan pertukaran tahun baru.   

Hari-hari pada tahun baru pada hakikatnya sama juga dengan hari-hari lain. Namun, bagi pelajar, perubahan tahun baru bermakna mereka akan menempuh perubahan ‘darjah’ dan ‘tingkatan’. Bermakna mereka akan menghadapi pelajaran berbeza, cabaran, tugasan dan pengalaman yang berbeza.   

Masuk tahun baru memang banyak perkara baru yang terpaksa kita temui, dilalui dan dilakukan. Bagi pelajar yang pada tahun ini berada di tingkatan empat, pada tahun ini bermakna memasuki tingkatan lima pula. Pelajar tingkatan lima tahun lepas pula kini menunggu keputusan SPM. Mungkin tahun ini selepas keputusan SPM, mereka kembali menyambung belajar di tingkatan enam, atau mungkin ke pusat pengajian tinggi. Tidak kurang juga yang akan terus memasuki pasaran pekerjaan.

Jelas sekali, perbezaan tahun turut memberi perbezaan kepada hidup kita. Tahun lalu meninggalkan pelbagai kenangan suka duka. Jangan pandang mudah apa yang telah kita lalui selama ini. Yang baik kita jadikan tauladan dan yang buruk dijadikan sempadan pengajaran. Secebis pengalaman tahun lalu mungkin membawa perubahan besar kepada kehidupan kita tahun ini dan seterusnya.

Kita hendaklah membuat muhasabah diri, mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri, kejayaan dan kegagalan yang telah ditempuh. Muhasabah diri penting bagi membolehkan kita mengetahui ‘untung rugi’ kehidupan tahun lepas. Hidup ini tidak ubah juga seperti satu perniagaan yang ada akaun untung rugi pada setiap akhir tahun. 

Biasanya pada awal tahun kita membuat azam, tekad dan cita-cita. Hal ini penting sebagai satu momentum membentuk keyakinan diri, menaikkan semangat dan menentukan hala tuju masa depan. Kita perlu meletakkan sasaran yang ingin dicapai pada tahun ini.  

Sesungguhnya setiap kita perlu meletakkan satu matlamat yang tinggi. Namun sasaran itu biarlah releven atau sesuatu yang mampu dicapai. Meletakkan harapan kepada sesuatu tidak mungkin mampu dicapai, itu namanya angan-angan kosong. Kata pepatah, ‘ukur baju di badan sendiri’.

Namun, tidak salah untuk kita meletakkan matlamat hidup pada kedudukan terlalu tinggi, yang akan diusahakan dari setahun ke setahun, mungkin mengambil masa berpuluh tahun. Tetapi permulaan kepada matlamat itu dirancang dan dicapai berperingkat-peringkat mengikut tahun demi setahun. Itu dinamakan perancangan jangka panjang. Perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama.

Untuk mencapai kejayaan besar memerlukan jiwa yang besar. Permulaan kepada kejayaan ialah menetapkan matlamat dan diikuti dengan kesedaran bagaimana untuk menjayakan matlamat itu. 

Sesuatu matlamat biasanya ditetapkan dalam tempoh selang masa tertentu untuk dicapai. Dalam konteks ini biasanya tempoh setahun dijadikan had tempoh capaian. Tempoh setahun dipilih kerana memberi ruang masa yang cukup untuk melihat kejayaan sesuatu tugas atau menilai perkembangan tugasan yang panjang. 

Sebenarnya masih banyak individu yang tidak mementingkan penetapan matlamat dalam hidupnya. Inilah satu kesilapan besar membawa kepada kegagalan dalam hidup. Hidup tanpa matlamat diibaratkan belayar di lautan luas tanpa menggunakan kompas. Hal ini sudah tentu bergantung kepada nasib saja sama ada kita selamat sampai di pelabuhan atau tidak. 

Sempena kedatangan tahun baru ini adalah wajar sekali kita semua membina azam baru, maupun memperbaharui azam lama yang masih belum tercapai. Setiap azam adalah pemangkin kepada membina keyakinan diri. Untuk berjaya kita memerlukan satu daya yang bersungguh-sungguh melaksanakan apa yang sepatutnya dilakukan.  

Bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada akhir tahun ini, masih belum terlambat untuk menetapkan matlamat. Biarpun separuh perjuangan untuk persediaan SPM telah berlalu ketika di tingkatan empat, hakikatnya masih belum terlewat untuk memulakan satu azam baru. Sikap sambil lewa atau tahun honey moon semasa di tingkat empat perlu dikikis. 

Tidak dinafikan, perjuangan sebenar untuk pelajar SPM adalah ketika berada di tingkatan lima. Tetapi adalah tidak wajar ketika berada di tingkatan empat dianggap tahun istirahat. Perlu diingat, pembahagian sukatan mata pelajaran di tingkatan empat dan tingkatan lima adalah sama penting. Kadar kebarangkalian tajuk-tajuk keluar dalam peperiksaan SPM untuk sukatan tingkatan empat dan tingkatan lima adalah sama. 

Jadi, untuk pelajar tingkatan empat pada tahun ini, bukan bermakna untuk tahun ini tidak perlu menanam azam atau matlamat. Keputusan peperiksaan PT3 yang baru diperoleh sepatutnya dijadikan pengajaran untuk menghadapi SPM pula. 

Pelajar yang gagal mendapat keputusan cemerlang dalam PT3 sepatutnya menanam azam lebih kuat pada tahun ini untuk mencapai yang terbaik dalam SPM. Jika dimuhasabah diri, tentu kita mendapati antara punca gagal mendapat keputusan terbaik ketika PT3 ialah tidak melakukan persiapan awal bermula tingkatan satu dan tingkatan dua lagi. 

Justeru, pengalaman itu harus dijadikan pengajaran. Kesalahan dahulu jangan diulangi lagi. Azam tahun baru ini hendaklah semangat untuk belajar di tingkatan empat bersungguh-sungguh, sepertilah peperiksaan SPM akan diduduki tahun ini.

Jangan kita ambil mudah tentang azam dan cita-cita. Orang yang tidak mempunyai azam dan cita-cita tidak melakukan apa-apa untuk kebaikan dirinya. Apa yang dilalui sekadar satu takdir. Setiap apa yang dilakukan tidak menggunakan kebijaksaan akal, tetapi sekadar mengikut gerak hati. Jangan menjadi seperti parasit yang bergantung hidup dengan pertolongan pihak lain.    

Manusia diberikan akal untuk berfikir. Sebaliknya sesiapa tidak mahu berfikir untuk kebaikan hidupnya, sikapnya tidak ubah seperti binatang. Sudah tentu tidak siapa ingin diumpamakan seperti binatang. Maka, kita perlu menunjukkan sifat sebagai manusia yang berfikir, termasuklah meletakkan matlamat dan cita-cita hidup.  

Kehadiran tahun baru ini perlu dijadikan momentum ke arah anjakan paradigma kehidupan bakal ditempuhi sepanjang tahun yang bakal dihadapi. Kita hendak lebih berdisiplin, bersemangat, jujur, mengutamakan kebaikan dan menjauhkan keburukan.

Kita jangan sekadar jadi pak turut. Orang merayakan sambutan tahun baru, kita turut merayakan. Sedangkan kita tidak ada apa-apa perancangan untuk menjayakan matlamat tahun baru. Banyak individu yang menyambut tahun baru sekadar bersuka ria, berpesta dan melaungkan kiraan detik tahun baru tanpa mempunyai apa-apa erti. 

Hadapilah tahun baru ini dengan penuh keyakinan, berwawasan, melakukan pengisian serta membina keyakinan untuk berjaya. Tidak akan perkara mustahil untuk dicapai dalam hidup ini, kecuali mereka yang lemah semangat, tidak menghargai masa dan tidak menggunakan anugerah akal.

Cabaran hidup pada zaman milinium ini perlu dihadapi dengan kekuatan ilmu dan minda. Jadi, jangan persia-siakan masa muda untuk menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin.

No comments:

Post a Comment