Thursday 24 October 2019

KANAK-KANAK SOLAT SAF DEWASA

Ada pendapat melarang kanak-kanak bersembanyang bersama orang dewasa dalam satu saf. Antara hujah yang digunakan juga ialah kanak-kanak itu menanggung najis kerana belum bersunat. Sekiranya bersolat bersama di dalam satu saf maka akan batallah solat orang dewasa yang bersentuhan dengannya.  

Hujah ini tidak dibina di atas dalil al-Quran dan sunnah. Bahkan Nabi SAW mendukung cucunya ketika solat.

Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan: “Hadis menunjukkan bersihnya pakaian kanak-kanak, sekiranya dihukumkan najis sudah tentu Nabi tidak mendukungnya, begitu juga yang dinaskan (disebut) oleh Imam Syafie dan selainnya.” 

Nabi SAW juga membawa anak kecil ke Masjid iaitu cucu baginda  ketika bersolat.  Malah Nabi SAW menjadi imam solat ketika itu.

Abdullah bin Syaddad meriwayatkan bahawa ayahnya berkata: ”Rasulullah menemui kami saat hendak mengerjakan salah satu solat malam (iaitu maghrib atau isya) sambil membawa Hasan atau Husain. Rasulullah ke hadapan dan meletakkan cucunya tersebut lalu mengucapkan takbiratul-ihram dan memulai solat.

Di tengah solat, beliau sujud cukup lama”. Ayahku berkata: ”Maka aku mengangkat kepala, lalu nampaklah cucu beliau yang masih kecil itu sedang bermain di atas belakang beliau, sedangkan beliau tetap sujud. Maka aku pun sujud kembali.

Setelah selesai solat, para shahabat bertanya: ’Wahai Rasulullah, engkau sujud terlalu lama di tengah-tengah solat tadi, sehingga kami mengira telah terjadi sesuatu, atau engkau sedang menerima wahyu”. 

Rasulullah SAW bersabda: ”Semua dugaan kalian tidaklah terjadi. Akan tetapi cucuku ini sedang naik ke belakangku seperti sedang menunggang kenderaan. Aku tidak ingin memberhentikannya sampai dia benar-benar berhenti sendiri” (Hadis Riwayat Nasai dalam Ash-Shughraa no. 1141; sahih).

Manakala dari hadis yang lain dari Abi Qatadah Al-Anshary dia berkata: ”Aku melihat Nabi sedang mengimami solat dan Umamah binti Abil-Ash (cucu Nabi dari Zainab) digendong di atas bahunya. Apabila beliau rukuk, maka beliau meletakkannya, dan apabila beliau akan berdiri dari sujud, maka beliau kembali (menggendongnya)” (Hadis riwayat Bukhari no. 494 dan Muslim no. 543; ini lafaz Muslim).

Dua hadis di atas adalah bukti bahawa kanak-kanak tidak menanggung najis dan perlu diasingkan dari saf orang dewasa bahkan cucu Baginda SAW berada di saf imam. 

No comments:

Post a Comment