Wednesday 27 December 2017

WANITA DILANTIK MENJADI NABI?

Pangkat nabi atau rasul tidak boleh dilobi atau kempen. Proses pemilihan nabi tidak dibuat oleh manusia. Tidak timbul soal cas keting dan digugurkan jawatan akibat ada pihak tidak menyukai.

Perlantikan nabi hak mutlak Allah. Hanya insan terpilih dilantik atau diamanahkan tugas sebagai nabi. Tugas berat lagi mencabar.

Jawatan ini tidak sesuai untuk wanita. Maka itu tiada wanita dilantik sebagai nabi.

Allah sangat sayangkan wanita kerana tugas dan tanggungjawab utusan-Nya itu sangat mencabar minda serta fizikal.

Tidak sepatutnya timbul soal bahawa Islam mendiskriminasikan wanita apabila pangkat nabi dan rasul tidak diberikan kepada mereka.

Penciptaan lelaki dan wanita berbeza. Jika sama, tentu sekali tidak perlu wujud istilah jantina.

Lelaki tidak perlu rasa terlalu 'sempurna' kerana banyak yang dimiliki wanita tidak mampu dilakukan oleh lelaki.

Jadi, wanita tidak perlu rasa terlalu sensitif dan berasa wujud diskriminasi peranan. Berbanggalah sebagai wanita dengan apa yang dimiliki yang tidak mampu dilakukan lelaki.

Terlalu dangkal dakwaan pihak yang ingin memperakui wanita juga ada dilantik sebagai nabi disebabkan ada menerima wahyu.

Firman Allah bermaksud: “Dan Kami wahyukan (ilhamkan) kepada ibu Musa: Susukan dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (daripada angkara Firaun), maka (letaklah dia dalam peti dan) lepaskan dia ke laut; dan janganlah engkau rasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi seorang daripada para rasul Kami,” (Surah al-Qasas:7).

Wahyu kepada ibu Nabi Musa tidak dianggap sebagai satu 'watikah' perlantikan sebagai nabi. Kerana tidak semua yang menerima wahyu dianggap nabi.

Perhatikan firman Allah: “Dan Tuhanmu memberi wahyu (ilham) kepada lebah, hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang, di pokok kayu, dan juga di bangunan yang didirikan oleh manusia,” (Surah al-Nahl:68).

Tentu sekali lebah yang menerima wahyu itu bukan nabi!

Secara tuntas, prinsip kerasulan seseorang manusia dinyatakan jelas oleh Allah dalam ayat ini.

Firman Allah: “Dan Kami tidak mengutus Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan lelaki." (Surah Yusuf:109).

No comments:

Post a Comment