Saturday 9 June 2018

LELAKI BOLEH BERHIAS SELAIN EMAS

Larangan lelaki memakai emas antara lain bertujuan untuk membezakan antara perhiasan perempuan dengan lelaki. Perempuan begitu sukakan emas dan menjadi perhiasan paling berharga bagi mereka. Sekiranya lelaki dibenarkan memakai emas, sudah tentu di antara suami dan isteri, suami akan lebih bersifat monopoli untuk memakainya.   

Untuk mengelak ‘konflik’ lelaki dan perempuan dalam merebut emas, maka emas dilarang dipakai oleh lelaki. Hukum ini bukan satu diskriminasi terhadap lelaki. Sebaliknya, ia memberi maksud yang tersirat dan tersurat.

Lelaki boleh memilih bahan lain untuk dijadikan perhiasan. Contohnya bahan yang popular dijadikan perhiasan lelaki untuk dijadikan cincin ialah perak.  Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sendiri memakai cincin perak. 

Namun ditegah lelaki memakai perhiasan menyerupai perempuan biarpun bukan dari jenis emas. Umumnya perhiasan bagi lelaki hanyalah cincin. Perhiasaan lain seperti subang, rantai leher, gelang tangan dan rantai kaki adalah dikhususkan sebagai perhiasan wanita. 

Atas maksud untuk mengelak menyerupai wanita, maka lelaki ditegah memakai perhiasan-perhiasan itu. Namun, sekarang ini terdapat logam tertentu yang dijadikan sebagai satu cara perubatan altenatif yang mana dibentuk sebagai gelang tangan atau rantai leher, maka untuk tujuan perubatan dan bukan untuk sebagai perhiasan, pemakaiannya adalah dibolehkan.

Mengenai logam lain seperti besi, tembaga dan seumpamanya, tidak ada nas yang mengharamkan pemakaiannya sama ada untuk lelaki maupun perempuan.  Pun begitu, 'peraturan' bahawa perempuan tidak boleh menyerupai lelaki dan lelaki tidak boleh menyerupai perempuan perlu dipatuhi dalam syarat berhias.

Kembali kepada peraturan berkaitan emas, lelaki boleh memiliki atau menyimpan emas bukan untuk tujuan perhiasan dirinya. Lelaki juga dibenarkan membawa emas yang bukan tujuan dipakai untuk perhiasan.  

Emas yang dijadikan perhiasan perempuan tidak perlu dikeluarkan zakat. Bagaimanapun, jika jumlahnya dianggap 'terlalu' banyak dan tidak lagi dianggap perhiasaan semata-mata, maka ia wajib dikeluarkan zakat apabila cukup nisab dan haulnya. 

Namun jika emas itu menjadi milik lelaki dan disimpan, penentuan wajib mengeluarkan zakat hanya bergantung kepada cukup nisab dan haulnya tanpa mengira pengecualian seperti diberikan kepada emas yang dimiliki perempuan.

No comments:

Post a Comment