Sunday, 22 March 2020

Takut Tuhan atau virus?

Takut Tuhan atau virus?  Itu salah satu soalan dilontarkan pihak tidak mematuhi perintah dikeluarkan kerajaan untuk mencagah wabak virus tersebar. Mereka mempertikaikan tindakan kerajaan dan arahan yang perlu dipatuhi.

Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang arahan melainkan untuk kebaikan. Mencegah adalah lebih baik daripada berubat. Isu merebak wabak Covid-19 bukan boleh dipandang mudah. Ia menyerang tidak mengenal mangsa. Maka setiap orang perlu mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya.

Sesiapa yang takut kepada Allah, maka perlulah dia mematuhi perintah kerajaan. Taat kepada kerajaan atau pemerintah adalah suruhan Allah SWT. Sesiapa tidak patuh kepada perintah kerajaan yang bertujuan kebaikan, maka orang itu sebenarnya tidak takut atau takwa kepada Allah.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Penyayang. Justeru Allah SWT menegah kita melakukan sebarang perbuatan yang boleh menyebabkan mudarat dan lebih-lebih lagi menyebabkan kematian.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa, ayat 29 bermaksud: “Jangan kamu bunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sangat kasih kepada kamu.”

Virus  makhluk ciptaan  Allah. Maknanya semua kejadian  di muka bumi ini sama ada yang baik dan buruk adalah ciptaan Allah SWT. Lahirnya Covid-19 adalah ujian Allah SWT terhadap manusia.

Ujian Allah itu bukan sahaja menuntut kita reda di atas ujian itu, tetapi bagaimana hendak menghadapinya. Kita tidak boleh hanya berserah kepada takdir.

Kita perlu berusaha dan berikhtiar supaya terhindar serta tidak dijangkiti oleh penyakit berbahaya yang berpunca daripada bakteria atau virus.

Pada masa sama waspada supaya tidak dijangkiti  atau menjadi penyebar jangkitan kepada orang lain. Ini konsep tawakal dalam Islam.

Kita boleh berserah kepada Allah SWT tetapi selepas berusaha bersungguh-sungguh (bertawakal). Ini langkah terakhir berserah kepada Allah SWT. Kita perlu berusaha kerana itu juga sebahagian amalan mendatangkan pahala.

Tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan adalah satu dosa. Ia bertentangan dengan arahan disebut oleh Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila kamu mendengar terdapat wabak di suatu daerah, janganlah kamu datang ke tempatnya. Sebaliknya, sekiranya wabak itu berjangkit di suatu daerah sedangkan kamu berada di sana maka janganlah kamu keluar melarikan diri daripadanya.”

Allah SWT menegah hamba-Nya mencampakkan diri dalam kebinasaan. Firman Allah SWT bermaksud: “Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195).

No comments:

Post a Comment