Masalah cetak rompak
semakin serius. Kegiatan cetak rompak berlaku di seluruh dunia. Sebuah badan
yang menjejak pelawat laman cetak rompak melaporkan bilangan pelawat pada 2017
mencecah 300.2 bilion. Cetak rompak dalam bentuk digital dan perisian komputer
paling tinggi. Pelbagai cara dilakukan bagi menangani masalah cetak rompak,
namun gagal kerana sikap pengguna.
Selain usaha dilakukan penguatkuasa
kementerian, seluruh masyarakat patut turut serta membanteras aktiviti cetak
rompak. Satu pendekatan yang difikirkan sesuai ialah kaedah mempertingkatkan
kefahaman agama berkaitan cetak rompak.
Sesungguhnya, agama Islam lengkap
dalam semua yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Ini termasuk dalam soal
hak cipta terpelihara hasil seni, buku, lukisan, paten dan sebagainya.
Sesuatu hasil yang dimasuk dalam
perihal hak cipta terpelihara telah diterima pakai oleh undang-undang sebagai
satu harta, yang dilahirkan dengan kepakaran, modal dan usaha yang khusus untuk
mendapat pulangan keuntungan daripada sesuatu hasil penciptaan.
Segala urusan berkaitan hak cipta
terpelihara tidak ada bezanya seperti harta dan barang dagangan lain yang ada
pemiliknya. Sesiapa ingin kepada sesuatu yang berkaitan hak cipta terpelihara
perlu melalui proses yang dipersetujui pemiliknya.
Sesiapa menjual hasil yang
dikategorikan hak cipta terpelihara samalah menjual sesuatu bukan miliknya. Mencetak
hasil hak cipta terpelihara tanpa kebenaran pemilik hak termasuk kategori
mencuri. Segala hasil pendapatan berkaitan cetak rompak haram digunakan.
Pihak mencetak rompak hasil seni dan
karya orang lain memang sedar telah melakukan kesalahan dari segi
undang-undang. Tetapi banyak orang tidak sedar dia juga menyalahi kehendak
agama.
Alasan biasa diberikan ialah mereka
tidak mencuri secara fizikal. Mereka membeli master copy dan kemudian mencetak
kembali. Jadi, hasil cetakan baru itu dianggap milik mereka dan boleh
dipasarkan untuk mendapat keuntungan.
Hasil yang dikategorikan hak cipta
terpelihara adalah hak milik pemegang hak cipta itu. Hasil itu tidak boleh
dicetak, ditiru atau digunakan tanpa kebenaran pemegang hak cipta.
Islam melarang mengambil hak milik
orang lain dalam apa bentuk sekalipun tanpa keizinan pemilik atau pihak yang
diberi kuasa mentadbirnya. Mengambil tanpa kebenaran samalah mencuri dan
menipu. Kedua-dua perbuatan itu dosa besar.
Akibat aktiviti cetak rompak
berleluasa kerana mendapat permintaan tinggi. Bahan yang dicetak rompak dijual
dengan harga lebih murah disebabkan pencetak rompak tidak perlu menanggung
kos-kos berkaitan penerbitan. Pencetak rompak hanya perlu mengeluarkan modal
kos pencetakan dan urusan pengedaran.
Pencetak rompak atau lanun cetak
rompak mendapat keuntungan lumayan hasil penjualan bahan cetak rompak,
sedangkan pemilik asal tidak mendapat hasil sepatutnya dari usaha dilakukan.
Untuk menghapuskan cetak rompak
memerlukan sokongan orang ramai. Seluruh masyarakat perlu menghindarkan diri
daripada terlibat dalam sebarang yang mempunyai kaitan dengan cetak
rompak.
Sesiapa saja yang terlibat dalam
mana-mana berkaitan cetak rompak adalah haram. Kaedah usul fikah menetapkan,
“apa yang asalnya haram, maka seluruh hukum berkaitan dengannya juga haram.”
Dengan kata lain, pengeluar,
pengedar, penjual, pembeli dan pengguna bahan cetak rompak menanggung satu
kesalahan di sisi agama.
Sebenarnya masalah cetak rompak
berleluasa disebabkan sikap masyarakat yang lebih berminat membeli bahan cetak
rompak yang ditawarkan lebih murah.
Membeli barang yang haram dijual
adalah menyalahi etika urusniaga dalam Islam. Haram bagi penjual menjual barang
yang bukan miliknya atau terdapat keraguan hak miliknya. Begitu juga haram bagi
sesiapa mengetahui kedudukan barang sedemikian daripada membelinya.
Pembeli tidak harus menukarkan hukum
Allah semata-mata terpengaruh dengan harga yang murah. Perkara haram tetap
haram, yang tidak bertukar kerana terpengaruh harga yang murah.
Sebarang bentuk perniagaan mesti
bebas daripada sebarang unsur gharar (ketidaktentuan). Ini bertujuan
menghindarkan sebarang salah faham dan sukar untuk menentukan kedudukan yang
sebenar.
Secara fizikal, hak milik bahan
cetak rompak adalah milik pencetaknya. Tetapi secara hakikatnya hasil seni yang
dicetak itu adalah milik pemegang hak cipta terpelihara itu. Dengan itu amat
jelas untuk disabitkan adanya unsur keraguan dalam perniagaan hasil cetak rompak.
Orang yang menjalankan hasil cetak
rompak mencari jalan mudah untuk mendapat keuntungan dengan membelakangi nilai
agama dan budaya. Memang tepat jika digelarkan orang terlibat cetak rompak
sebagai lanun yang tidak berhati perut.
Peniaga bahan cetak rompak wajar
dikenakan hukuman berat. Mereka mencuri kekayaan hasil titik peluh orang lain. Perbuatan
itu amat tercela dan terkutut. Hukuman
berat perlu dikenakan kepada pencetak rompak.
Sesiapa membeli bahan cetak rompak
samalah bersetongkol dengan penjenayah. Pembeli juga layak dipanggil penjenayah
kerana menyokong gerakan penjenayah lanun cetak rompak. Lanun cetak rompak
tidak dapat meneruskan operasi sekiranya tidak mendapat sokongan daripada
pembeli.
Sokongan semua pihak diperlukan
untuk menghentikan aktiviti cetak rompak. Golongan agama perlu turut memainkan
peranan ini. Soal cetak rompak adalah urusan muamalat yang perlu ditangani
segera. Membiarkan aktiviti cetak rompak berleluasa samalah membiarkan maksiat,
penindasan dan penipuan bermahraja lela.
No comments:
Post a Comment